KUALA KANGSAR: Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid akan membantu menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan belia di Kuala Kangsar.
Menurut Mastura, golongan belia yang masih menganggur boleh datang ke pejabatnya, dan beliau akan berusaha mencarikan pekerjaan yang sesuai untuk mereka.
Selain itu, kata beliau, Pejabat Parlimen Kuala Kangsar juga akan membiayai kos perjalanan belia yang ingin ke lokasi temuduga, sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan.
“Saya akan menganggung duit minyak mereka untuk pergi temuduga kerana mereka mungkin tidak ada duit sebab masih tidak mempunyai pekerjaan,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan program Dengue Patrol Sekolah Kebangsaan Raja Muda Musa dekat sini pada Isnin.
Menurut Mastura, berdasarkan dialog beliau bersama-sama belia, mereka menyuarakan masalah tiadanya saluran untuk mengadu dan hanya bergantung kepada maklumat daripada akhbar dan iklan yang ditampal di merata-rata tempat.
"Jadi, saya fikir pejabat parlimen perlu mengambil inisiatif awal dengan menyediakan iklan-iklan dalam 'page' kami supaya mereka boleh melihat peluang yang ada ataupun datang ke pejabat,” ujarnya.
Mastura turut memberitahu hasratnya untuk mempertingkatkan aspek kemahiran di kalangan belia dengan menggalakkan mereka menyertai kursus-kursus kemahiran.
Menurutnya, hasrat itu juga sebenarnya merupakan impian arwah suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-Il Anuar Wan Ahmad, yang mahu melihat Kuala Kangsar mempunyai ramai belia berkemahiran dalam pelbagai bidang.