top of page
muinsapidin

52 Pelajar Kolej Matrikulasi Gopeng Keracunan Makanan

GOPENG: Selepas 53 pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengalami keracunan makanan minggu lalu, seramai 52 pelajar lelaki Kolej Matrikulasi Gopeng di sini pula mengalami kes yang sama selepas menikmati masakan berasaskan ayam di cafeteria kolej berkenaan.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, pelajar-pelajar berkenaan mengalami pelbagai simptom keracunan makanan sejak Ahad dan dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, katanya, kesemua pelajar terbabit hanya dirawat sebagai pesakit luar dan tiada kes serius dikenal pasti.

“Antara simptom yang dialami 52 pelajar berkenaan adalah sakit perut, cirit birit, muntah, pening, loya dan demam.

“Punca keracunan adalah disyaki daripada makanan berasaskan ayam yang dijual pada hari Sabtu lalu dan siasatan ke atas pesakit, rata-rata makan di cafeteria asrama lelaki,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Tambah beliau 52 pelajar lelaki itu merupakan antara 602 orang yang terdedah kepada makanan berkenaan.

“Semasa siasatan dibuat kita telah mengumpul 15 sampel klinikal, 4 swab tangan pengendali makanan, 9 swab persekitaran dan 13 sampel makanan.

“Rating semasa kafeteria ini adalah 34.48 peratus dan tiada rating sebelum kerana ini merupakan pengusaha baru yang mengambil alih,” jelasnya

Susulan itu beliau memberitahu kafeteria berkenaan telah ditutup serta merta di bawah Akta Penyakit Berjangkit berkuatkuasa pada 22 Ogos dan pengusaha kafe telah dikompaun RM1,000 di bawah peraturan (34) Akta Kebersihan Makanan.


46 views0 comments
bottom of page