top of page
muinsapidin

3 Perak Satu Kejayaan Besar: Razif

"KEJAYAAN atlet badminton negara menggondol tiga pingat perak merupakan satu kejayaan yang besar buat Malaysia," demikian reaksi bekas jaguh badminton kebangsaan Datuk Razif Sidek.

Razif yang merupakan pemenang pingat gangsa acara beregu lelaki bersama adiknya, Datuk Seri Jalani Sidek di Olimpik Barcelona 1992 menyifatkan kejayaan di Olimpik Rio sebagai sesuatu yang amat membanggakan walaupun gagal membawa pulang emas pertama buat negara.

Pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying melakukan kejutan apabila

menyumbang perak buat kontinjen negara di Olimpik Rio.

"Ini satu kejayaan buat sukan badminton Malaysia. Saya tidak melihat ketiadaan pingat emas sebagai satu kegagalan.

"Bagi saya, untuk mendapatkan sebutir pingat di sukan berprestij seperti Sukan Olimpik bukannya mudah. Dan kita seharusnya berbangga dengan pemain yang telah mengharungi satu demi satu perlawanan hingga ke peringkat akhir.

"Kejayaan Datuk Lee Chong Wei untuk beraksi di pentas akhir tiga kali berturut-turut di Sukan Olimpik juga merupakan satu penghormatan besar buat negara.

Walaupun tidak berada dalam prestasi terbaik ketika perlawanan akhir, tetapi untuk mengutip sebutir lagi pingat perak di Sukan Olimpik sudah cukup membanggakan rakyat Malaysia," katanya.

Razif turut memuji prestasi pemain beregu lelaki (Goh V Shem-Tan Wee Kiong) dan campuran (Chan Peng Soon-Goh Liu Ying) yang mengejutkan ramai pemain handalan untuk lolos ke peringkat akhir.

"Itu menunjukkan kita belum lagi ketandusan pemain berkaliber. Kita boleh lihat prestasi cemerlang beregu lelaki yang hampir memecahkan kebuntuan emas dalam kejohanan kali ini.

"Saya percaya mereka sudah melakukan sehabis baik untuk membawa pulang emas, cuma nasib sahaja yang tidak menyebelahi apabila mereka tewas tipis di set penentuan," ujarnya lagi.

Melihat kepada potensi yang ada sekarang, Razif percaya Olimpik Tokyo 2020 boleh menjadi medan pingat lagi buat atlet badminton Malaysia, dengan syarat semua pihak harus bermula dari sekarang.

"Macam-macam boleh terjadi dalam masa empat tahun lagi. Olimpik datang empat tahun sekali, jadi tak bolehlah nak bermula setahun atau dua tahun sebelum kejohanan bermula.

"Saya percaya, kita sudah harus melihat daripada pelbagai aspek seperti umur pemain, prestasi semasa, dan potensi yang ada untuk kita gilap bakat yang ada.

"Jadi, untuk menjayakan misi mencari pingat emas di Tokyo, kita harus dan wajib bermula dari sekarang," tegasnya.


21 views0 comments
bottom of page