MESKIPUN gagal membawa emas pertama buat negara di pentas Sukan Olimpik kali ini, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tetap kebanggaan negara.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sedar kesedihan Chong Wei selepas tewas di tangan Chen Long ketika merebut pingat emas, malam tadi.
Kekecewaan terpancar di wajah pemenang pingat perak badminton Datuk Lee Chong Wei selepas tewas kepada pemain China, Chen Long di perlawanan akhir di Riocentro Pavilion 4 pada Sukan Olimpik Rio 2016, malam tadi. - Foto Bernama
"Berat mata memandang lagi berat bahu yang memikul harapan negara selama sepuluh tahun lebih.
"Saya tahu Lee Chong Wei sangat sedih dengan keputusan perlawanan akhir. Kepada Chong Wei, anda tetap kebangaan negara. Anda tetap hero kami, rakyat Malaysia.
"Anda mendapat penghormatan setiap seorang rakyat Malaysia. Terima kasih kerana berjuang habis-habisan selama ini," katanya dalam satu kenyataan.
Malam tadi, Chong Wei berhempas pulas menewaskan Chen Long di pentas akhir Sukan Olimpik Rio 2016 namun gagal dan terpaksa akur dengan 21-18, 21-18 sekaligus menyaksikan emas milik China.
Air mata pemain nombor satu dunia itu ketika di tamat saingan ditambah permohonan maafnya kepada seluruh rakyat Malaysia nyata dibalas dengan pelbagai ucapan terima kasih serta kata-kata semangat melalui media sosial khas untuknya.
Dalam pada itu, Khairy turut menyampaikan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua atlet yang menyumbang pingat kepada negara dalam temasya kali ini.
"Kontinjen negara pulang dengan empat perak dan satu gangsa, ini pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan kita di Sukan Olimpik. Tahniah kepada kontinjen kita.
"Walaupun Negaraku masih tidak berkumandang di Sukan Olimpik, saya bangga dengan pencapaian para atlet kita. Mereka berjaya menyatukan rakyat dan memberi sinar harapan kepada semua tak kira bangsa, usia mahupun latar belakang," katanya.
Berakhirnya temasya di Rio ini, beliau mengalihkan fokus utama sekarang kepada Sukan Olimpik akan datang di Tokyo pada tahun 2020.
"Perancangan kearah 2020 telah bermula dengan pelancaran Program Podium pada Februari tahun ini. Saya akan tekankan lagi pembangunan para atlet pelapis dan penerapan sains sukan melalui Program Podium dan Program Kita Juara.
"Saya yakin dengan perancangan yang baik, Tokyo 2020 akan mengakhiri penantian Malaysia untuk mendapat pingat emas," katanya.