SUNGAI SIPUT: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terpaksa mengurangkan kadar pinjaman kepada penuntut baharu kerana trend bayaran balik yang masih rendah di kalangan peminjam sedia ada.
Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, sehingga Disember 2015, PTPTN hanya berjaya mengutip RM8 bilion, berbanding sasaran RM15 bilion daripada RM26 bilion pinjaman yang diluluskan.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya hanya meluluskan 95 peratus daripada kos pengajian kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 85 peratus kepada penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Menurut beliau, sekiranya ia tidak dilakukan, PTPTN akan berdepan dengan masalah kekurangan dana untuk memberi pinjaman kepada bakal-bakal mahasiswa dan juga berdepan dengan masalah membayar balik pinjaman kepada institusi kewangan.
“Sebab itu, kita harap rakyat sokong untuk kita ambil beberapa langkah penguatkuasaan bagi membolehkan kita dapat berada pada kedudukan kewangan yang sepatutnya dicapai.
“Apabila kita capai pada tahap yang sepatutnya, baru boleh kita pertimbangkan untuk kembali kepada kedudukan asal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Siput, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput, Datuk Zolkafly Harun.
Shamsul Anuar mengulas rungutan ibu bapa, khususnya dari luar bandar yang mendakwa anak-anak mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi kerana yuran serta kos sara hidup yang tinggi, sedangkan pinjaman yang diperolehi berkurangan.
Beliau memberitahu, pelbagai langkah telah dilakukan oleh pihak ptptn untuk mendapatkan semula bayaran balik pinjaman yang diberikan, termasuk menyenaraikan peminjam di dalam sistem maklumat rujukan kredit pusat (CCRIS) mulai Jun tahun lalu.
Beliau menjelaskan bahawa penyenaraian itu bukan untuk menganiaya mana-mana pihak tetapi bertujuan menggalakkan peminjam agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab membayar balik pinjaman di samping menggalakkan pengurusan kewangan dan kredit yang berhemah.
“Saya ingin menegaskan di sini bahawa CCRIS bukan halangan untuk meminjam selagi orang ramai membayar hutang yang dimiliki mengikut jadual.
“Hakikatnya, peminjam hanya perlu membayar balik sebarang pinjaman dimiliki secara konsisten supaya CCRIS tidak merekodkan nama mereka dengan prestasi buruk,” tambah beliau.