top of page
muinsapidin

Keluarga Tulang Belakang Kejayaan Atlet

KEMERIAHAN temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil yang menutup tirainya hari ini menyajikan kepada peminat sukan, jerih perih atlet berusaha untuk mencipta kejayaan di pentas dunia.

Namun di setiap kejayaan seseorang atlet bukan sekadar mendapat latihan yang terbaik, penerapan aspek-aspek sains sukan serta peralatan sukan terbaik, sokongan daripada anggota keluarga juga turut memainkan peranan penting.

Begitu juga dengan 32 atlet Malaysia yang membawa cabaran negara dalam 10 acara sukan di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, keluarga adalah 'tulang belakang' kejayaan mereka.

Atlet negara, baik yang bertanding di temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro mahupun mana-mana temasya sukan dan kejohanan bertaraf dunia yang lain, membawa harapan besar seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun sebahagian daripada mereka tidak membawa pulang pingat yang diharapkan, mereka telah pun berusaha sedaya upaya, namun bukan rezeki mereka.

Sesungguhnya mereka telah bekerja keras dan melakukan banyak pengorbanan dalam hidup demi mahu menjadi atlet yang terbaik.

Ada antara mereka yang sanggup menangguhkan pengajian, meninggalkan pekerjaan dan juga keluarga, demi menaikkan nama negara dan acara sukan yang dicintai.

Dalam menggapai kejayaan dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, tidak ramai yang tahu atlet kita terpaksa berpisah jauh dengan keluarga masing-masing untuk suatu tempoh masa yang panjang.

Anggota keluarga sentiasa berada di belakang atlet dalam setiap susah dan senang serta pengorbanan yang perlu dilalui.

Adakalanya, mereka terpaksa menolak ke tepi 'mood' keceriaan setiap sambutan perayaan kerana mahu memberi fokus kepada kejohanan yang disertai.

"Rasanya sudah enam kali saya tidak dapat berhari raya dengan keluarga tapi itu bukanlah penghalang untuk saya. Kami hanya berhubung melalui telefon untuk bertanya khabar," kata pelumba trek wanita negara Fatehah Mustapa kepada Bernama.

Selepas usai beraksi di pentas Olimpik, Fatehah kembali ke tanah air dan akan menggunakan cuti rehat selama tiga minggu untuk bersama-sama keluarganya di Hulu Terengganu, Terengganu, sebelum kembali ke Melbourne, Australia untuk menyambung latihan.

Sepanjang temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro berlangsung, bagi wartawan yang membuat liputan di sini bersama-sama anggota keluarga atlet yang terlibat dapat menyaksikan riak wajah penuh tekanan ketika anggota keluarga mereka sedang beraksi.

Mereka kemudiannya bersorak gembira dan berkongsi kegembiraan apabila pingat dimenangi.

Bagi Lee Chong Hoon, abang kepada jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, mengakui beliau mengenepikan perasaan gemuruh ketika menonton perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki semalam memandang ia merupakan medan terakhir Chong Wei di pentas Sukan Olimpik.

"Sebelum ini saya tidak melihat perlawanan melibatkan Chong Wei (kerana) perasaan gemuruh itu akan datang secara tiba-tiba, namun saya tabahkan juga untuk melawan perasaan gemuruh itu bagi memberi sokongan padu kepada adik saya dalam memburu pingat emas yang menjadi idamannya selama ini.

Ungkapan "di sebalik kejayaan seseorang lelaki (suami) adalah seorang wanita (isteri)" sememangnya tepat kepada dua Olimpian negara Chan Peng Soon dan Mohd Azizulhasni Awang.

Tiada yang lebih menggembirakan bagi seorang isteri apabila melihat pengorbanan selama ini untuk memastikan impian suami tercapai membuahkan hasil.

Pingat perak yang dimenangi Peng Soon dan gandingannya, Goh Liu Ying dalam acara beregu campuran adalah hadiah paling bernilai untuk keluarganya.

Isteri Peng Soon, Cham May May berkata, ia sememangnya impian suaminya selama ini untuk mengecap kegemilangan di Sukan Olimpik dan beliau mahu Peng Soon terus mencapai lebih banyak kejayaan dalam kariernya.

Sementara Athiah Ilyana Abd Samat, isteri kepada Mohd Azizulhasni berkata, fokus suaminya dalam misi merangkul pingat emas Olimpik Rio 2016 berbeza daripada dua temasya sebelum ini.

Menurutnya, pelumba yang terkenal dengan jolokan "The Pocket Rocket Man" itu amat prihatin dalam soal perjalanan rutin harian, latihan dan juga menjaga aspek pemakanannya.

Namun seperti biasa, sokongan keluarga jarang ditonjolkan kepada khayalak ramai sebaliknya tumpuan hanyalah kepada atlet itu sendiri.

Kepada semua Olimpian, anda adalah wira di hati kami rakyat Malaysia. - Bernama


31 views0 comments
bottom of page