top of page

3 Sahabat Trauma Disamun

muinsapidin

MERU RAYA – Tiga warga emas trauma selepas disamun enam lelaki bersenjatakan parang di hadapan rumah seorang daripada mereka di Taman Meru 2C, di sini, kelmarin.

Azizah Bidin, 60, mengakui kejadian yang berlaku sekelip mata itu meninggalkan kesan mendalam kepada mereka bertiga malah tidak dapat melelapkan mata setiap kali mengingatkan perkara tersebut.

Menurutnya, dia yang sedang membelek pokok bunganya diajak seorang lagi rakan, Zaidah Om, 80, ke rumahnya untuk menikmati bihun goreng bagaimanapun mereka berhenti dan bersembang di rumah rakannya, Ruslaini Harun, 53, yang juga mangsa kejadian.

“Selepas lima minit bersembang di hadapan rumah Ruslaini, tiba-tiba kami terkejut apabila ketiga-tiga leher kami diletakkan parang dan diarahkan tidak membuat bising.

“Mereka menyelak tudung makcik, merentap rantai leher, dua gelang dan cincin. Lutut makcik luka sedikit terkena batu kerana ditekan penyamun itu ketika mengambil rantai,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Beliau berkata, dalam keadaan tegang ketika itu, dia hanya berdoa dan menyebut nama ALLAH kerana tidak mampu berbuat apa-apa sambil mengharapkan jiran atau orang lalu lalang untuk membantu.

Katanya, apa yang dikesalkan rantai yang diambil penyamun itu adalah kenangan dari suaminya selepas berpencen sebagai anggota tentera.

“Makcik bersyukur kami tidak diapa-apakan cuma barang kemas kami dilarikan. Laporan polis juga telah dibuat dan berharap pihak polis dapat menangkap mereka,” katanya.

Sementara itu, Ruslaini berkata, dia juga tidak menyangka niatnya untuk mencabut rumput di hadapan rumahnya menjadi mimpi ngeri apabila disamun bersama rakannya.

Jelasnya, dia yang masih dalam tempoh idah selepas kematian suaminya April lalu tidak pernah keluar rumah bagaimanapun pada hari kejadian terpanggil untuk keluar disebabkan rumput semakin memanjang.

“Makcik memang tidak keluar sejak suami meninggal tetapi semalam terasa nak keluar sebab rumput dah tinggi. Tak sangka pula ketika asyik bersembang, kami diarahkan untuk diam sebelum barang kemas disamun.

“Disebabkan dalam tempoh idah, makcik memang tidak pakai barang kemas. Penyamun itu suruh makcik selak kain hendak tengok makcik pakai gelang kaki atau tidak,” katanya.

Tambah Ruslaini, hampa tidak dapat mengambil apa-apa darinya, seorang daripada penyamun itu cuba masuk ke dalam rumah namun dipanggil seorang lagi rakannya untuk pergi dari situ selepas ada jiran yang terlihat kelibat mereka.

Katanya lagi, Zaidah pula terpaksa menyerahkan gelang tangan dan tiga cincin miliknya.

“Walaupun merayu untuk menyimpan satu daripada cincin tersebut sebagai pusaka, ia tidak diendahkan penyamun tersebut dan tanpa belas kasihan merentap cincin itu hingga jarinya luka,” katanya.

Salah seorang jiran, Azizah Ahmad, 62 turut terkejut kejadian yang menimpa ketiga-tiga rakannya kerana dia juga selalu berbual dengan mereka.

“Makcik juga selalu bersembang dengan mereka tetapi kelmarin tidak pula rasa hendak keluar rumah sebab asyik menonton televisyen.

“Walaupun rumah makcik berhadapan dengan lokasi kejadian tetapi tidak dengar bunyi pelik mungkin kejadian itu berlaku sangat pantas,” katanya.

Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jelapang selepas kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.


5 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page