top of page

Selama Akan Terima Limpahan Pembangunan – Dr Zambry

muinsapidin

BATU KURAU: Daerah Kecil Selama yang merupakan antara lima bandar paling `top’ dari segi Indexs Kesejahteraan di Malaysia akan menerima pembangunan sebagaimana daerah lain di negeri Perak.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ini selaras dengan dasar kerajaan negeri yang mahu memastikan pembangunan di Parlimen Larut seimbang dengan pembangunan yang berlaku di kawasan lain.

Justeru itu, kata beliau, memandangkan Selama memiliki indeks kehidupan masyarakatnya yang sejahtera, kerajaan bercadang membina beberapa jalan strategik yang dapat bakal membawa limpahan pembangunan kepada penduduk di daerah berkenaan.

Katanya, antara jalan yang akan dibina ialah jalan Anak Kurau yang menghubungkan Batu Kurau ke Kamunting yang dapat memendekkan masa perjalanan kepada 10 minit sahaja.

``Selain itu, jalan raya yang menghubungi Sungai Siputih ke Larwin akan juga dibina bagi menghubungkan perjalanan ke Gerik dan seterusnya ke Kelantan dan dari Gerik ke Kedah,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Fit Perak@Larut yang berlangsung di Padang Astaka Batu Kurau pada Sabtu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, ADUN Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria dan ADUN Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Alias.

Dr Zambry menjelaskan bahawa langkah kerajaan hendak membawa limpahan pembangunan itu kerana mahu menjadikan kawasan DUN Batu Kurau sebagai Bandar Satelit dan Parlimen Larut sebagai sebahagian daripada Greater Kamunting.

Beliau juga berkata, selain pembinaan Kolej Tinggi Kemahiran Mara yang bakal dilaksana pembinaannnya tahun depan dengan kos RM230 juta bagi melahirkan ramai tenaga mahir, kerajaan turut merancang untuk membina pekan kecil baharu di Sungai Bayor, Selama bagi merancakkan aktiviti ekonomi penduduk.

Ditanya mengenai status Daerah Kecil Selama, Dr Zambry berkata, kerajaan melihat tiada kesukaran untuk meneruskan usaha menjadikannya sebagai sebuah daerah penuh kerana ia sudahpun menjadi daerah kecil.

Namun demikian, katanya, isu mengenai status Selama masih lagi di peringkat perbincangan Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Tindakan Daerah Larut.

Menuryt beliau, dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah baru-baru ini, wakil-wakil rakyat dan Ahli Majlis Jawatakuasa ada mengesyorkan supada Daerah Kecil Selama dijadikan sebuah daerah penuh dan ada pula yang meminta supaya ia kekal sebagai sebuah daerah kecil Selama.

"Ada yang meminta agar Selama dikekalkan sebagai daerah kecil kerana ia merupakan antara lima daerah paling top dalam konteks Indeks Kesejahteraan di Malaysia,’’ katanya.


18 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page