top of page

Polis Mencari Waris Kanak-kanak Ditinggal Dalam Kotak

muinsapidin

IPOH - Polis sedang mencari waris seorang kanak-kanak lelaki dipercayai berusia sekitar dua tahun yang ditemui ditinggalkan di dalam kotak di Ampang Baru pada 30 Julai lepas.

Kanak-kanak lelaki yang dipercayai warga asing itu ditemui dalam keadaan separuh sedar dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian badan.

Sebelum itu, difahamkan terdapat satu panggilan telefon yang memaklumkan kepada rumah anak yatim berhampiran untuk mengambil kotak yang ditinggalkan di kawasan terbabit.

Sehubungan itu, jurucakap Bahagian Siasatan Seksual/Keganasan Rumahtangga/Penderaan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintendan Kamariah Jamaludin berkata, kanak-kanak itu ditemui oleh orang awam pada jam 1.30 petang di tepi Jalan Ampang Baru 6, Ampang Baru, di sini.

Menurut beliau, orang awam telah menyalurkan maklumat sejurus penemuan kanak-kanak tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Kanak-kanak itu kini mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun.

“Oleh itu, pihak polis ingin memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kanak-kanak terbabit untuk tampil membantu siasatan,” ujarnya.

Kamariah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah D11, Asisten Superintendan Kamariah Jamaludin di talian 016-5249091 atau 05-2451628/1629.


10 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page