top of page

Masjid Medan Perpaduan, Bukan Perpecahan

muinsapidin

TAIPING: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyeru rakyat menjadikan masjid sebagai medan penyatuan ummah dan bukan tempat perpecahan.

Beliau berkata, masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah tetapi juga merupakan lambang kepada syiar Islam yang memainkan peranan penting.

“Kalau kita jadikan sesuatu masjid itu sebagai tempat penyatuan, maka bersatulah masyarakat di sekitarnya, sekiranya masjid dijadikan tempat perpecahan, maka berpecah belahlah masyarakat sekitarnya.

“Jadi kita perlu tanamkan sifat kasih sayang terhadap perpaduan dan penyatuan ini, kita lihat negara-negara Islam yang lain sedang mengalami perpecahan dalaman, kini semua sedang bergolak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Kenduri Rakyat dan Dewan Serbaguna Kampong Boyan dekat Taiping pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Taiping merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie serta ADUN Kamunting, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Ahmad Shalimin memberitahu, dewan itu yang dibina dengan kos RM160,000 merupakan sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Saya berharap dengan pemberian serta perasmian dewan ini, orang-orang sekitar, tanpa mengira bangsa boleh menggunakannya sebaik mungkin.

“Terima kasih juga kita ucapkan kepada Menteri Besar yang sanggup datang ke Kampung Boyan untuk merasmikan dewan bersejarah bagi kampung ini,” ujarnya ketika berucap.

Selepas upacara perasmian, lebih 200 tetamu kemudian beramah mesra bersama Dr Zambry dan Ahmad Shalimin sambil menikmati juadah ringan yang disediakan.

Dr Zambry turut meluangkan masa kira-kira 45 minit mendengar permasalahan rakyat setempat sebelum beredar.


15 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page