top of page

Kanak-kanak Dua Tahun Ditinggalkan Dalam Kotak, Mangsa Dera

muinsapidin

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai mangsa dera kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Sebelum ini, kanak-kanak yang dipercayai warga asing itu ditemui oleh orang awam dalam kotak di Ampang Baru pada 30 Julai lepas.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, pihak hospital telah menjalankan pemeriksaan kesihatan dan menemui kesan penderaan pada badan kanak-kanak berkenaan.

Menurut beliau, kanak-kanak itu turut mengalami pendarahan serta pembengkakan otak dan pembedahan juga telah dijalankan untuk membuang darah beku dalam kepala.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini (Jumaat), kanak-kanak itu masih belum sedarkan diri dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.

"Kita turut memberi makanan dan minuman kepadanya melalui tiub,” katanya dalam satu kenyataan semalam di sini.

Dalam perkembangan sama, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan terperinci berhubung kes tersebut.

“Sekarang apa yang menjadi keutamaan adalah memberi rawatan kepada kanak-kanak itu sehingga sembuh.

“Pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus menjalankan pemantauan sehingga waris kanak-kanak terbabit berjaya dikesan,” katanya lagi.


8 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page