SELAMA – Lapan individu, termasuk dua pasang suami isteri yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah, ditahan secara berasingan dalam Ops Tapis di sekitar Daerah Kecil Selama sehingga Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Selama, Asisten Superintendan Abdul Ghani Zainol berkata, dengan penahanan suspek berusia antara 13 hingga 61 tahun itu, pihaknya juga berjaya merampas sekitar 600 gram dadah jenis syabu dan heroin bernilai hampir RM20,000.
Menurut beliau, aktiviti pengedaran yang mula aktif sejak tujuh bulan lalu itu didakwa didalangi oleh seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) berusia 34 tahun yang merupakan suami kepada salah seorang wanita yang ditahan.
"Kami turut menahan seorang remaja berusia 13 tahun yang juga anak kepada salah satu pasangan, namun telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Salah seorang suspek yang ditahan juga masih dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan dari penjara sekitar tiga bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang mediaselepas menghadiri program Permukiman Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir pada petang Jumaat.
Ops Tapis yang dijalankan sejak 6 Ogos lalu turut menyita empat buah kenderaan, antaranya Honda City, Perodua Axia, Perodua Viva dan sebuah motosikal, kesemuanya bernilai sekitar RM115,000.
Difahamkan, kesemua kenderaan itu dimiliki suspek hasil daripada wang menjual dadah.
“Semua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu memiliki rekod lampau berkaitan kes dadah.
“Dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di sekitar daerah ini dan kes
disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya1952,” katanya lagi.