BATU KURAU: Program Permukiman di Parlimen Larut yang diadakan selama lima hari dan berakhir hari ini (Sabtu) telah mencapai satu kejayaan besar dan telah menampakkan hasil dalam konteks interaksi dengan masyarakat di kawasan berkenaan.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, beliau amat berpuas hati kerana secara keseluruhannya Program Permukiman itu mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Katanya, program permukinan itu terbukti berkesan apabila sebanyak 128 program yang disusun sepanjang lima hari telah ditambah menjadi 140 program iaitu tambahan program secara kecil yang diperlukan di sebuah kawasan.
``Bukan kita mengangkut orang luar untuk meramaikan setiap program yang dianjurkan, pada perancangan awal sepanjang lima hari berada di sini sebanyak 128 program yang telah disusun tetapi ada tambahan program secara kecil yang diperlukan untuk saya dan barisan Exco turun berinteraksi dengan masyarakat di sesebuah kawasan menjadikannya lebih 140 program,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Fit Perak@Larut yang berlangsung di Padang Astaka Batu Kurau pada Sabtu.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, ADUN Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria dan ADUN Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Alias.
Menurut Dr Zambry, beliau telah mendapat maklum balas secara langsung daripada masyarakat setempat tentang pandangan dan komen mereka berhubung program Permukiman itu.
``Mereka terharu dengan kaedah kita adakan program ini iaitu program yang benar-benar menjurus kepada akar umbi terlibat di dalam program ini,’’ katanya.
Dr Zambry memberitahu, kerajaan akan membuat `posmortem’ daripada program permukiman itu, sepertimana yang telah dijalankan pada program permukiman terdahulu, bagi menyelesaikan segala permasalahan rakyat.
``Kita akan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas untuk membuat pernilaian bagi setiap program permukiman yang kita adakan bagi memastikan perkara-perkara yang dibangkitkan rakyat diberi perhatian, diambil tindakan dan diselesaikan,’’ katanya.