MALAYSIA berpeluang untuk memperoleh pingat emas selepas pemain sandaran negara, Datuk Lee Chong Wei berjaya mara ke pusingan akhir setelah menewaskan pencabar terdekatnya dari China, Lin Dan dalam aksi yang penuh mendebarkan sebentar tadi.
Dalam saingan tersebut, Chong Wei menewaskan Lin Dan dengan catatan mata, 15-21, 21-11, 22-20, dalam perlawanan yang berlangsung di Pavilion 4,Riocentro.
Pada set pertama, Chong Wei dilihat kurang agresif sehingga membuka ruang buat Lin Dan untuk memperoleh mata sekali gus menang dengan mata 21-15.
Namun begitu, bagi mencapai misi emas negara, Chong Wei bangkit pada set kedua dan ketiga lantas memenangi perlawanan itu dengan mata, 21-11, 22-20 dalam tempoh 33 minit.
Menerusi rekod perlawanan sebelum ini, Chong Wei dan Lin Dan pernah bertemu sebanyak 36 kali di peringkat antarabangsa di mana Lin Dan memenangi perlawanan sebanyak 25 kali manakala Chong Wei pula sebanyak 11 kali.
Namun begitu, rekod menerusi dua perlawanan terakhir sebelum ini dilihat lebih memihak kepada Chong Wei.
Dalam pada itu, pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang mencipta kejutan semasa di peringkat separuh akhir bakal turut menentang pasangan dari China, Zhang Nan dan Fu Haifeng dalam perlawanan akhir pada jam 10.50 malam ini.
Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dam Goh Liu Ying sebelum ini turut menghadiahkan negara pingat perak setelah tewas kepada pasangan nombor tiga dunia dari Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliana Natsir.