BATU KURAU: Fit Perak 2016 bersempena Permukiman Parlimen Larut berjaya dilaksanakan dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung daripada pelbagai peringkat umur.
Program yang berlangsung meriah di Astaka Batu Kurau pada Sabtu itu telah digamatkan dengan pelbagai program bersukan seawal jam 7.30 pagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, program itu diwujudkan bagi mempertingkatkan kesedaran terhadap pentingnya menjaga kesihatan di kalangan rakyat.
"Kita mahu rakyat sedar akan kepentingan bersukan ini demi kesihatan kita sendiri, tidak mengira peringkat umur atau di mana kita berada.
"Melalui senaman atau bersukan, insya Allah segala penyakit akan dapat disembuh dan juga dielakkan kalau kita amalkan setiap hari, jadi ini tujuan kita adakan bagi menjadikan bersenam ini satu kebiasaan dikalangan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya, ADUN Batu Kurau Datuk Amin Zakaria dan beberapa wakil rakyat serta pengarah agensi kerajaan negeri.
Dr Zambry turut mengayuh basikal sejauh 25 km mengelilingi Batu Kurau bersama 3,000 pengunjung yang mengambil bahagian.
Turut diadakan acara larian sejauh 5 km dan senam arobik yang juga disertai ribuan pengunjung.
Fit Perak 2016 adalah antara program utama dalam Permukiman YAB Menteri Besar di Parlimen Larut yang bermula sejak Selasa hingga hari ini (Sabtu).