top of page
muinsapidin

Sistem Jalinan Rakyat Wanita UMNO Perak Antara Terbaik

SELAMA: Sistem kerja Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO Perak adalah antara yang terbaik di negara ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keberkesanan sistem itu yang telah membuahkan hasil pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu telah membuatkan ia dijadikan model program JR seluruh negara.

"JR UMNO Perak dijadikan contoh, model negeri-negeri lain kerana kejayaan kita dalam mengurus rentak kerja yang bersistematik sehingga membuahkan hasil.

"JR kita ini jenis tak cakap banyak, kita buat kerja mengikut fakta dan ikhlas demi kejayaan parti," katanya ketika berucap dalam Perjumpaan Bersama Jalinan Rakyat Wanita UMNO Bahagian Larut di Dewan Permai Majlis Daerah Selama pada Jumaat.

Lebih 1,000 wanita dari 100 cawangan UMNO di Bahagian Larut menghadiri majlis berkenaan.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohammed, Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Rusnah Kassim, Setiausaha Perhubungan UMNO Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohammad dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perak Khairul Anwar Mohammad Noor.

Dr Zambry yang juga Menteri Besar turut mengesa JR Wanita Bahagian Larut untuk memulakan gerak kerja bagi memenangi PRU akan datang.

"JR Larut ini telah menunjukkan prestasi cemerlang pada PRU lalu, kesemua empat kerusi kita telah menang, jadi saya minta teruskan kecemerlangan.

"Teruskan mendekati rakyat, bersembang dengan pengundi, hadir kenduri yang diadakan dan yang paling penting terus bersatu.

"Saya yakin kalau kita terus bersatu hati, kita akan menang, saya minta Wanita semua jangan berpecah kerana kekuatan UMNO terletak pada wanitanya," ujar beliau.

JR merupakan gerak kerja bersepadu yang menggabungkan tenaga baru dan lama Wanita UMNO untuk bekerjasama semasa kempen-kempen Barisan Nasional dalam menghadapi pilihan raya.

Antara aspek yang ditekankan dalam program JR ialah menjalinkan jaringan dengan masyarakat setempat di tiap-tiap kawasan Parlimen terutama dengan kumpulan sasar iaitu NGO, surirumah, profesional atau mana-mana individu dan badan yang berpengaruh, menyusun serta melaksanakan program yang berterusan berbentuk kemasyarakatan.


65 views0 comments
bottom of page