top of page
muinsapidin

Perak Yakin Dengan Peranan Dan Kebolehan Koperasi

KAMUNTING: Kerajaan negeri Perak sentiasa yakin dengan peranan dan kebolehan gerakan koperasi di negara ini, yang telah menunjukkan prestasi yang baik sejak dari dahulu lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, berlandaskan kepada keyakinan itu, kerajaan negeri membuat simpanan tetap kira-kira RM400 juta di dalam dua buah bank koperasi – Bank Persatuan dan Bank Rakyat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli-ahli koperasi supaya jangan bercakaran, sebaliknya menumpukan usaha untuk bersama-sama memajukan koperasi untuk menjadi lebih baik.

“Hayati tema sambutan Hari Koperasi tahun ini – satu untuk semua dan semua untuk satu untuk membentuk kerjasama dan perpaduan yang kuat,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Koperasi Negara peringkat negeri Perak di Kompleks Rakan Muda di sini pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Sementara itu, Hamzah di dalam ucapannya memberitahu, sehingga Disember 2015, sebanyak 1,352 koperasi telah berdaftar di negeri Perak dengan nilai asset meningkat 10 peratus dari RM1.049 bilion kepada RM1.155 bilion.

Menurutnya, jumlah anggota koperasi di Perak juga meningkat kepada 384,341 orang manakala perolehan tahunan meningkat daripada RM351 juta pada 2014 kepada RM558 juta tahun lalu.

Di dalam majlis itu, Kasim Muhammad dari Koperasi Orang Melayu Kerajaan (SKOM) Perak Berhad dipilih sebagai Tokoh Koperasi Negeri Perak di samping penerima-penerima pelbagai anugerah.

Koperasi yang menerima anugerah ialah Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (Perkhidmatan Kewangan), SKOMK Perak Berhad (Pemborongan dan Peruncitan), Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Kuala Kangsar Berhad (Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan), Koperasi Pekebun Kecil Daerah Larut Matang Berhad (Perladangan), Koperasi Perumahan Melayu Perak Berhad (Pembangunan Hartanah dan Industri Pembinaan), Koperasi Rancangan Tanah Belia Khas Padi Seberang Perak Berhad (Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Koperasi Maktab Rendah Sains Mara Taiping Berhad (Sekolah).

Lima buah koperasi menerima bantuan pembangunan iaitu Koperasi Pekebun Kecil Sungai Siput (U) Berhad (RM50,000), Koperasi Pekebun Kecil Daerah Selama dan Kerian Berhad (RM50,000), Koperasi SMK Dato’ Haji Hussein Selama Berhad (RM100,000), Koperasi Industri Kampung Kepala Bendang Kuala Kangsar Berhad (RM50,000) dan Koperasi Pembangunan Halal Kariah-Kariah Masjid Daerah Batang Padang Berhad (RM50,000).

Lima buah koperasi pula menerima pinjaman tabung modal pusingan berjumlah RM8.677 juta iaitu Koperasi Rancangan Tanah Belia Khas Padi Seberang Perak Berhad, Koperasi Kakitangan Universiti Sultan Idris Tanjung Malim Berhad, Koperasi Pekerja-Pekerja Majlis Bandaraya Ipoh Berhad, Koperasi Keluarga Rahmah Kampar Berhad dan Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Gugusan Kledang Sayong Kuala Kangsar Berhad.

Sempena sambutan itu, turut diadakan penyerahan MoU di antara koperasi dengan Open University Malaysia (OUM) mengenai pelantikan sebagai agen pengambilan pelajar untuk OUM dan Kolej Terbuka Antarabangsa di samping menjadi `training service provider’ bagi pelajar OUM.


61 views0 comments
bottom of page