KAMUNTING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan membantu koperasi yang berpotensi dalam sektor peruncitan dan pemborongan untuk membantu mengatasi kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya akan mencari beberapa koperasi yang mampu untuk diperbesarkan untuk bersaing secara sihat dengan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) yang telah diwujudkan.
Menurut beliau, agenda kerajaan bukan sahaja untuk membantu koperasi dan anggotanya, tetapi juga membantu masyarakat sekeliling dengan menentukan harga barangan yang dijual adalah berpatutan.
“Kita lihat dalam sektor peruncitan dan pemborongan ini, kita akan memberikan sedikit bantuan untuk membesarkan kedai atau tempat mereka simpan stok dan sebagainya,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Perak di Kompleks Rakan Muda Kamunting pada Jumaat yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Hamzah berkata, kementerian akan memberi bantuan dari segi pinjaman supaya koperasi berkenaan boleh membawa lebih barangan keperluan yang mungkin tidak terdapat di kawasan kampung.
“Jadi kita nak lihat bahawa barang-barang yang ada di bandar juga ada di kampung-kampung melalui koperasi yang akan kita tingkatkan dari masa ke semasa,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Hamzah memberitahu, selepas selesai sambutan Hari Koperasi yang diadakan di negeri-negeri, kecuali di Perak dan Kelantan yang sedang berlangsung, ia telah mencatatkan jualan berjumlah RM2.6 juta dengan 160,000 pengunjung.
Di samping itu, kata beliau, sebanyak 24 memorandum persefahaman telah ditandatangani ketika sambutan itu yang turut melibatkan 900 buah gerai.