SELAMA: Kerajaan negeri tidak mahu projek ternakan kambing Boer di Pondok Tanjung yang bertujuan melahirkan usahawan yang berupaya untuk membangunkan industri penternakan ruminan menemui kegagalan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sekiranya projek itu sekali lagi menemui kegagalan, kerajaan negeri akan mendesak supaya kerajaan Persekutuan mengembalikan semula projek penternakan itu kepada kerajaan negeri Perak.
Menurut beliau, ini adalah projek kerajaan Persekutuan yang disambut baik oleh kerajaan negeri untuk memastikan bekalan daging kambing dapat disediakan daripada dalam negeri sendiri, selain melahirkan ramai usahawan penternakan kambing Boer.
Beliau melahirkan rasa kecewa kerana projek tersebut sebelum ini menemui kegagalan sehingga menyebabkan beratus-ratus ekor kambing Boer yang diimport dari negara luar mati.
Katanya, keadaan ini menimbulkan rasa tidak senang kerana ia bukan hanya melibatkan kerajaan negeri tetapi juga melibatkan wang rakyat.
“Rakyat tidak akan mencari Ketua Pengarah Veterinar tetapi akan mencari kerajaan negeri dan mereka akan mengatakan ini projek kerajaan negeri Perak, sedangkan ia bukan projek kerajaan negeri,” katanya.
Beliau demikian semasa berucap merasmikan Program Pembangunan Usahawan Ladang Pengganda di Pondok Tanjung pada Jumaat.
Program itu dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Jabatan Veterinar Perak. Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Khalid.
Dr Zambry meminta semua agensi yang terbabit turut memainkan peranan bagi membantu menjayakan program itu yang dijangka dapat melonjakkan pengeluaran ternakan kambing dan hasilan daging bagi memenuhi keperluan di negeri ini.
Pada majlis itu Dr Zambry turut menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama di antara NCIA dengan syarikat Major Transglobal Sdn Bhd (MTG) yang membabitkan penyertaan lima peserta pertama yang dipilih menyertai Program Ladang Pengganda di Pondok Tanjung.
Terdahulu Redza berkata, penglibatan syarikat swata dalam penternakan kambing itu mampu melibatkan pemindahan pengetahuan dan latihan amali berasaskan konsep latihan sambil bekerja dari syarikat peneraju disamping mewejudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Katanya, NCIA melihat inisiatif itu sebagai satu program yang memberikan kesan limpahan positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perak dan Koridor Utara secara amnya