SELAMA: Program Permukiman Menteri Besar di Parlimen Larut selama lima hari di pelbagai kawasan turut dirasai oleh kaum Cina yang merasa begitu dekat dengan pendekatan mesra barisan pemimpin kerajaan negeri.
Beberapa penduduk yang ditemui merasakan bahawa penerapan program serta lawatan ke pelbagai kawasan di Selama oleh golongan pemimpin negeri Perak sememangnya menyelami isi hati serta permasalahan mereka.
Bagi mereka, faktor jarak dan masa terhad Daerah Kecil Selama menyebabkan mereka kurang berinteraksi secara terus bersama pemimpin tempatan, namun segalanya diubati dengan program permukiman tersebut.
Bagi Koh Ah Yan, 63, sebagai surirumah sepenuh masa, beliau selalu ketinggalan dalam program bersama pemimpin untuk meluahkan pendapat dan cadangan bagi meningkatkan kualiti hidup golongan wanita di Selama.
"Saya akui, lokasi kami di sini terletak agak jauh daripada pembangunan pesat, malah berada di luar bandar jadi memang susah nak berikan cadangan secara terus.
"Memang ada JKKK atau ketua kampung yang merekodkan aduan kami, mereka bertindak sebagai saluran efektif, namun lain pula rasanya bersuara di hadapan pemimpin yang selama ini telah banyak membantu membangunkan daerah serba sederhana ini," katanya kepada Suara Perak.
Beliau ditemui ketika Sesi Dialog Pemimpin Masyarakat Kampung-kampung Baharu Parlimen Larut dan NGOs bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Integrasi Nasional, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon di perkampungan Sungai Terap,Selama di sini pada petang Jumaat.
Sementara itu, bagi Ng Boon Seng,37, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Parlimen Larut, kegembiraannya terhadap inisiatif permukiman yang dapat melebihi sasaran sebenar kerajaan negeri Perak.
Katanya, sebagai seorang yang mengendalikan aduan serta permasalahan, khususnya daripada 9 buah kampung baharu di Larut, beliau sering berharap bahawa pemimpin dapat turun padang dan mendengar secara terus luahan hati masyarakat setempat.
"Kadang-kadang, ada mesej yang tidak berjaya disampaikan sepenuhnya kepada telinga pemimpin dan mungkin disebabkan beberapa komplikasi komunikasi di pelbagai peringkat.
"Itu salah satu faktornya, dan bila mereka turun ke sini perkara itu dapat diatasi. Selain itu, perasaan kaum Tiong Hua apabila melihat pemimpin bersalam, memahami serta menyelami sedalamnya permasalahan mereka adalah amat berbeza dan cukup membuatkan mereka terharu," katanya lagi.
Ternyata, di sebalik kesibukan program berterusan selama lima hari itu, beberapa impak sosial dan secara berkomuniti yang terselindung mula menampakkan kesan untuk permukiman ini.
Setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama atau latar belakang, wajar dijaga kebajikannya dan ianya jelas terlaksana dalam Permukiman Parlimen Larut kali ini.