top of page
muinsapidin

Jangan Pandang Remeh Ancaman Daesh

SUNGAI BAYOR: Guru agama dan jawatankuasa masjid diingatkan supaya jangan memandang remeh ancaman Daesh dan IS di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, ancaman itu adalah benar dan perlu dipandang serius.

Gambar Hiasan

Sehubungan itu, kata beliau, mereka perlu lebih berhati-hati dan bersama-sama membuat pemerhatian di kariah masing-masing.

"Ini bukan cerita kosong atau cerita dongeng, janganlah kita perlekehkan, sebaliknya perlu berhati-hati," katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan majlis taklimat peraturan kariah masjid dan keselamatan negara di Dewan Orang Ramai Sg Bayor di sini pada Khamis.

Majlis itu yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, menghimpunkan lebih 300 guru KAFA dan jawatankuasa masjid di Parlimen Larut.

Drs Nizar berkata, umat Islam mesti bersyukur kerana dapat tinggal di sebuah negara yang aman damai.

Sehubungan itu, kata beliau, umat Islam perlu bersatu dan menjadi role model yang baik, sekaligus menghapuskan persepsi negatif terhadap agama Islam.

Sementara itu, ketika merasmikan penutup majlis ikhtifal tadika Islam peringkat Parlimen Larut, Drs Nizar menasihatkan ibu bapa supaya menanam nilai-nilai murni anak-anak mereka pada usia awal.

Menurut beliau, tadika Islam yang diperkenalkan di negeri Perak sejak lebih 40 tahun lalu semakin mendapat sambutan di kalangan ibu bapa di negeri ini.


25 views0 comments
bottom of page