KUALA KANGSAR: Seramai 56 pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengalami keracunan makanan dan tiga daripadanya dirujuk kepada Hospital Kuala Kangsar, pada Khamis.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Juita Ghazali berkata, laporan diterima kira-kira 11.20 malam kelmarin melibatkan beberapa pelajar.
Gambar Hiasan
Menurutnya, tiga pelajar dirujuk ke hospital berkenaan manakala pelajar lain dirawat sebagai pesakit luar.
Tambah beliau, kes awal mula dikesan sekitarjam 3.00 petang melibatkan empat pelajar pada Rabu lepas.
Kemudian, 38 lagi pelajar dilaporkan mengalami gejala sama kira-kira jam 7.00 petang kelmarin.
"Pelajar-pelajar mengalami gejala-gejala seperti muntah, loya, demam, pening dan sakit perut tetapi keputusan ujian makmal masih belum diperolehi.
"Kebersihan dapur juga dilihat menunjukkan tahap kebersihan menurun. Pemeriksaan yang dilakukan pada 7 Ogos lepas, tahap kebersihan adalah 90.81 peratus.
"Manakala tahap kebersihan hanya 68.96 peratus semasa pemeriksaan dilakukan semalam. Makanan yang disyaki tercemar masih dalam siasatan," katanya kepada Suara Perak pada petang Jumaat.
Dalam pada itu, Dr Juita memaklumkan, antara faktor menyebabkan berlaku keracunan adalah penggunaan perkakas yang kotor semasa menyediakan makanan.
Siasatan awal mendapati perkakasan seperti dulang, penapis air, mangkuk dan pinggan tidak dibersihkan dengan sempurna.
"Malah, van yang digunakan untuk mengangkut makanan dari dapur ke dewan makan juga didapati dalam keadaan kotor.
"Kakitangan ada menjumpai ulat sampah dalam van tersebut dan buat masa ini, dapur asrama ditutup mengikut Akta CDC 1988," ujarnya.