KUBU GAJAH: Program Permukiman Menteri Besar di Parlimen Larut bukan sahaja djalankan bagi menyelesaikan permasalahan rakyat, malah menunaikan segala janji yang dibuat kepada rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, menerusi program itu, kerajaan akan melihat sama ada segala janji tersebut telah dilaksanakan atau tidak.
Katanya, setakat ini kerajaan telah menunaikan janji apabila membina sebuah jambatan yang menghubungkan Kampung Sungai Siputeh dan Kampung Teluk Mas.
"Jambatan berharga RM3.8 juta itu telah pun siap dan saya telah pun merasmikan jambatan itu sebentar tadi.
"Di kawasan FELDA Ijok ini pula, janji yang telah kita buat sebelum pilihan raya lalu ialah untuk membina mini stadium, dewan dan kompleks perniagaan,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program PUSPANITA dan Karnival Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan di Dewan Permai, FELDA Ijok, Kubu Gajah pada Khamis.
Menurut Dr Zambry, itu merupakan sebahagian daripada proses permukiman bagi memastikan dana memantau perkara-perkara yang sedang dilaksanakan atau yang telah dilaksanakan dan sejauh mana projek-projek yang dijanjikan itu dapat dilaksanakan.
"Alhamdullilah saya puas hati dengan segala projek yang sedangkan dilaksanakan itu selain mengenal pasti sebarang permasalahan dan mencari kaedah-kaedah terbaik untuk menyelesaikannya,’’ ujarya.