top of page
muinsapidin

Perak Wujud Tabung Akaun Amanah Sokongan Keluarga

SELAMA: Perak telah mewujudkan Tabung Akaun Amanah untuk membantu keluarga yang menghadapi masalah nafkah selepas berlaku perceraian.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, tabung itu diletakkan di bawah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurut beliau, tabung amanah itu akan mendahulukan bayaran nafkah yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah sekiranya bekas suami gagal untuk melunaskannya.

Dalam masa sama, kata beliau, pihak JAIPk akan terus menghubungi bekas suami untuk membayar balik jumlah nafkahyang telah didahulukan itu.

"Tabung ini bagi membantu bekas isteri dan anak-anak menjadi mangsa kegagalan bekas suami atau bapa membayar nafkah yang diputuskan oleh mahkamah," katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan Klinik Kekeluargaan Islam sempena Program Permukiman Parlimen Larut.

Seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada ahli Perkim dan Persatuan Ibu Tunggal menghadiri klinik sehari itu.

Drs Nizar berkata, klinik itu antara lain untuk memberi pendedahan dan maklumat mengenai jalan penyelesaian bagi memastikan golongan yang berhak tidak teraniaya.

Beliau menjelaskan, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk menilai dan menimbangkan mereka yang layak menerima manfaat daripada tabung berkenaan.

Drs Nizar memberitahu, setakat ini tabung berkenaan telah membantu 61 orang yang layak.


14 views0 comments
bottom of page