KUBU GAJAH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengingatkan peneroka FELDA di negeri ini supaya jangan mengulangi kesilapan dengan mencagar geran tanah untuk melangsaikan pinjaman dan mendapatkan keuntungan berikutan kenaikan nilai tanah.
Menurut beliau, tindakan itu bukan sahaja boleh menyebabkan tanah mereka terlepas ke tangan orang lain, malah memusnahkan masa depan anak-anak dan keluarga mereka.
"Jangan mengulangi kesilapan, apabila kerajaan memberikan hak milik itu selepas tempoh 30 tahun, ada di kalangan mereka mencagarkan tanah itu bagi melangsaikan pinjaman yang tidak boleh dibayar dan semata-mata kerana nilai harga tanah yang mahal,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program PEKERTI dan Mini Karnival Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan di Dewan Semai Bakti Felda Ijok pada Khamis. Hadir sama ADUN Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Alias.
Menurut Dr Zambry, proses pemberian geran tanah biasanya melibatkan kawasan yang dibangunkan untuk tanah FELDA dan Felcra dan selepas tempoh 30 tahun kebiasaannya tanah tersebut akan diberikan kepada peneroka.