Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di negeri ini disaran melipat gandakan usaha melaksanakan program Satu PDK Satu Produk bagi membantu pusat itu menjana sumber pendapatan sendiri.
Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli berkata setiap PDK telah diminta mengenalpasti satu produk yang boleh dikomersialkan dan diusahakan secara kecil-kecilan di pusat masing-masing.
Menurutnya langkah tersebut selain dapat menjana pendapatan buat PDK, ianya dapat dijadikan sebahagian daripada aktiviti pemulihan bagi pelatih pusat PDK yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).
Kata beliau program Satu PDK Satu Produk tercetus setelah melihat kejayaan PDK Trolak yang berjaya menjana pendapatan lumayan hasil daripada perusahaan pengeluaran makanan ringan yang dijalankan.
“Sekiranya setiap PDK mampu mengeluarkan produk mereka masing-masing, ini sedikit sebanyak boleh membantu pusat itu mempunyai sumber pendapatan sendiri.
Dengan cara ini juga, secara tidak langsung setiap PDK dapat mewujudkan satu aktiviti perniagaan buat pelatih-pelatih di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai rombongan ahli BAIDURI membuat kunjungan ke PDK Selama, PDK Felda Ijok, PDK Pantai Besar dan PDK Batu Kurau hari ini.
Kunjungan tersebut merupakan acara sampingan bersempena dengan program Permukiman Menteri Besar di Parlimen Larut yang berlangsung selama lima hari bermula 16 Ogos.
Mengulas kunjungannya ke keempat-empat PDK itu, Saripah berkata beliau berpuas hati kerana kesemua PDK yang dilawatinya itu telah menunjukkan perkembangan positif.
Katanya setiap PDK itu telah berjaya membuat perubahan terutama daripada segi memastikan kemudahan premis yang lebih baik dan selesa buat pelatih OKU berbanding sebelum ini.
“Saya puas hati kerana saya dapat lihat perbezaannya. Contohnya PDK Batu Kurau dulu menyewa tapi kini mereka ada premis baru.
Bagi PDK Pantai Besar pula keadaan premis sekarang boleh dikatakan baik walaupun masih menyewa. Saya masih ingat ketika saya mula-mula melawat PDK Pantai Besar pada 2009, keadaannya amat menyedihkan sekali,” katanya.
Katanya lagi keempat-empat PDK itu juga berjaya menyahut seruan Satu PDK Satu Produk apabila setiap daripada mereka berjaya menghasilkan produk masing-masing.
“Misalnya PDK Felda Ijok dengan aktiviti penanaman sayur, bunga dan ikan, PDK Pantai Besar dengan pengeluaran rempeyek dan PDK Batu Kurau makanan ringan simpul kasih,” katanya.
Saripah melahirkan penghargaan buat pengurusan, penyelia dan guru-guru PDK yang banyak memainkan peranan dalam membuat perubahan-perubahan positif tersebut.
Beliau berkata BAIDURI akan terus memberi kerjasama supaya PDK di negeri ini terus cemerlang dalam memberi perkhidmatan pemulihan kepada OKU di kawasan masing-masing.
Mengenai perkembangan sama, Saripah berkata kejayaan PDK Trolak telah menjadikan pusat itu terpilih sebagai PDK Mentor kepada enam PDK di negeri ini bagi tujuan aktiviti keusahawanan.
Keenam-enam PDK itu adalah PDK Sungai Tinggi, PDK Pantai Remis, PDK Kampung Gajah, PDK Felda Besout 3, PDK Manila, PDK Padang Rengas.