SELAMA: Sebanyak 32 buah kampung di Daerah Kecil Selama menjadi kumpulan pertama yang memasang papan tanda anti dadah, yang menjadi salah satu medium untuk menyedarkan rakyat setempat mengenai peranan mereka untuk membantu membasmi penyalahgunaan dadah.
Majlis penyerahan papan tanda itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan yang juga Pengerusi Pemadam Negeri.
Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Kg Sg Setar pada Rabu sempena Permukiman Parlimen Larut itu turut dihadiri Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Kamarudin Awang.
Papan tanda itu tertulis perkataan 'Perangi dadah habis-habisan, ambil kisah, ambil tindakan, kampung kita adalah tanggungjawab kita'.
Samsudin berkata, peranan membasmi dadah terletak di bahu semua orang, bukan hanya ketua kampung atau kumpulan tertentu.
Bagaimanapun, kata beliau, ketua-ketua kampung perlu mengambil kisah isu dan permasalahan rakyat, bukan sahaja isu pembangunan, ekonomi dan kebajikan, tetapi juga isu dadah di kampung-kampung mereka.
Beliau memberitahu, sehingga Disember 2015, Daerah LMS mencatatkan bilangan penagihan dadah yang kedua tertinggi selepas Kinta dengan lebih 900 kes.
"Bilangan itu bukanlah bermakna pihak yang bertanggungjawab tidak menjalankan tugas, sebaliknya disebabkan mereka aktif mencari dan menyelongkar kes-kes di daerah ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan papan tanda anti dadah itu.
Di majlis itu, Samsudin turut menyerahkan peti surat kepada ketua-ketua kampung untuk membantu melancarkan program yang dilaksanakan oleh Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA).