TAIPING: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan memaklumkan kepada negara jiran Indonesia kebakaran tanah serta hutan di Sumatera Tengah telah menyebabkan jerebu rentas sempadan ke beberapa kawasan di sekitar Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau akan mengirim surat kepada rakan sejawatannya, Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Dr Siti Nurbaya Bakar untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut.
"Kita akan maklumkan kepada menteri bertanggungjawab bahawa kita kebelakangan ini kita mendapati jerebu telah sampai ke beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa (subs: International Day for the Conservation of Mangrove Ecosystem) peringkat kebangsaan 2016 di Kuala Sepetang, di sini pada Khamis.
Dr Wan Junaidi berkata, walaupun negara jiran bertindak pantas dalam memadam kebakaran hutan, namun asap daripada pembakaran tersebut tidak dapat dielak daripada menyebabkan jerebu.
"Sekarang mereka cepat (memadam kebakaran) bila mendapat indikator ada kebakaran, tidak seperti dulu dan ini menunjukkan ia melaksanakan apa yang dijanjikan," katanya sambil menambah, jerebu yang melanda sekarang belum pada tahap berbahaya.
Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat pukul 3 petang Khamis, sebanyak 33 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas, berbahaya.