BATU KURAU : Program Kembara Rakan Muda yang dianjurkan bersempena Program Permukiman Parlimen Larut mampu melahirkan golongan muda yang meminati program kesukarelawan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia,Sukan dan Sumber Manusia, Aznel Ibrahim berkata program itu juga dapat mewujudkan kemesraan dan keakraban antara golongan belia dengan masyarakat setempat.
Menurut beliau, jika dahulu, sekiranya ada majlis, anak-anak muda akan bersama-sama menyertai gotong royong sebelum majlis berlangsung dan secara tidak langsung mewujudkan keakraban sesama mereka.
"Masa dah berubah dan kerana itu, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Perak mengambil inisiatif untuk mewujudkan perasaan sukarela di kalangan anak muda, di samping mewujudkan kemesraan dalam kalangan peserta," katanya selepas merasmikan program Kembara Anak Muda di Kampung Sempeneh, di sini, pada Khamis.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA), Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi dan Pengarah JBS Perak Tuan Abdul Rahim Tuan Bahru.
Antara peserta yang mengambil bahagian dalam Kembara Anak Muda itu ialah 30 pelajar dari Multimedia College (MMC) Taiping bersama anak muda setempat.
Dalam program itu, peserta juga turut memasang Jalur Gemilang sepanjang jalan masuk ke Kampung Sempeneh sehingga ke Chalet Semepeneh Riverfront.
Sementara itu, Tuan Abdul Rahim berkata, melalui program sebegitu, ia dapat menjadi satu platform kepada anak muda untuk membentuk jatidiri masing-masing.
"Ianya boleh menjadi satu platform untuk mereka mewujudkan keakraban antara mereka dan saling bertukar-tukar fikiran, secara tidak langsung membolehkan mereka lebih menghargai semangat kesukarelawanan untuk generasi muda ini teruskan di masa hadapan," katanya.
Terdahulu, Aznel merasmikan program Skills@PeKA di Dewan Datuk Hamzah Zainuddin yang memberi pendedahan kepada golongan muda berkaitan kursus pemasangan perancah.
Aznel berkata, menerusi program tersebut, golongan muda di Batu Kurau mendapat pengetahuan berkenaan kemahiran tersebut.
Menurutnya, program itu melibatkan golongan belia tempatan yang berumur 19 tahun hingga 23 tahun di samping mengadakan sesi temuduga.
"Kita difahamkan, syarikat tersebut akan memberi peluang pekerjaan selama setahun dan selepas itu, mereka (anak muda) boleh mencari pekerjaan di tempat lain dengan pengalaman yang mereka ada atau menyambung kursus Tahap Dua untuk memperoleh pendapatan yang lebih tinggi," katanya.