IPOH: Kejayaan atlit lumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang menghadiahkan pingat pertama dalam acara tersebut di Olimpik Rio merupakan satu pencapaian dan kebanggaan buat seluruh negara.
Isterinya, Athiah Ilyana Abdul Samad, 30, berkata, kejayaan itu adalah hasil sokongan dan dorongan rakyat Malaysia buat suaminya yang menggalas tanggungjawab untuk mengharumkan nama Malaysia dalam acara keirin.
Dikenali sebagai Pocketrocketman, Azizulhasni mensasarkan emas bagi pertaruhan di Brazil sejak penyertaannya di London pada empat tahun lepas, namun pencapaian sekeping gangsa merupakan permulaan yang cukup bermakna buat Malaysia, ujar Athiah.
“Saya amat bersyukur, terima kasih Malaysia, saya sendiri tidak menyangka bahawa begitu ramai penyokong suami yang mengikuti perkembangannya sejak di London, malah ada yang ke tahap melihat teknik kayuhannya secara terperinci, itu yang buat saya teruja.
“Walaupun kayuhannya agak kecil, tetapi dia berapi, itu yang bawa pingat balik untuk Malaysia tu,” katanya sambil tertawa kecil ketika ditemui di kediamannya di Persiaran Bukit Meru 1, Ipoh pada Selasa.
Malah, Athiah juga mengakui teknik kayuhan suami tercintanya itu menjadi idola beberapa atlit sukan berbasikal dari luar negara dan jelas menunjukkan kesungguhan suaminya dalam sesi latihan sepanjang empat tahun selepas Olimpik London 2012.
Athiah berkata, adalah mustahil bagi suaminya untuk mencapai kejayaan itu kalau bukan kerana doa serta dorongan berterusan daripada keluarga dan rakyat Malaysia yang sentiasa yakin dengan kebolehannya.
Tambahnya, inspirasi utama Jijoe adalah anak-anak, yang sentiasa menjadi pembakar semangatnya setiap kali mewakili negara untuk menjadi seorang bapa contoh di masa hadapan.
Katanya, keyakinan beliau bahawa selepas menyaksikan suaminya melengkapkan repercharge satu hingga mara ke pusingan akhir walaupun mengakui jantungnya berdegup laju melihat persaingan dari pelumba lain.
“ Memang berdebar-debar, tapi saya gagahkan semangat untuk menyaksikan kesemua perlumbaan Jijoe di velodrum antarabangsa kerana saya juga menaruh harapan, segala pengorbanan dan persiapannya kini dibalas dengan pingat yang dibawa balik buat Malaysia,” katanya lagi.
Kejayaan itu amat bermakna buat pelumba berusia 28 tahun itu setelah gagal dalam dua percubaan di Beijing 2008 dan London 2012.
Kemenangan pingat pakar keirin itu merupakan merupakan sumbangan pingat kedua buat kontinjen negara selepas Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoon menghadiahkan pingat perak menerusi acara terjun 10 meter platform seirama wanita.
Athiah mengakui, pada perlumbaan akhir, beliau agak risau dengan Jijoe yang kelihatan diasak oleh pesaingnya yang lain, namun pecutannya di saat akhir berjaya membawa gangsa bagi sukan lumba berbasikal negara.