top of page
muinsapidin

Guru Perlu Bijak Menilai Keupayaan Murid - Dr Amin

SELAMA: Golongan pendidik harus bijak mengenalpasti kaedah pembelajaran terbaik agar ianya selaras dengan tahap penerimaan ilmu bagi setiap pelajar di sekolah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, setiap murid mempunyai keupayaan dan kepantasan untuk menyerap ilmu yang berbeza.

Justeru itu, kata beliau, adalah amat penting bagi setiap guru untuk membantu meningkatkan potensi capaian pembelajaran murid dengan menyediakan pelbagai kaedah termasuk pengurusan kelas dan pembahagian kerja rumah.

"Konsep ini merupakan penerapan "learning how to learn" dan ianya perlu disemai pada setiap murid dengan cara yang tepat dan tanggungjawab ini harus digalas oleh para guru.

"Ianya termasuk membahagikan masa, teknik menggunakan buku rujukan, bahan pembelajaran yang bersesuaian dan yang paling penting, teknik mendapatkan input di dalam kelas secara berkesan," katanya kepada Suara Perak selepas melakukan lawatan di empat buah sekolah sekitar Selama dan Kubu Gajah pada petang Khamis.

Menurut beliau, adalah amat penting bagi seorang pendidik untuk memastikan anak didiknya memperolehi kebolehan menghafal dan memahami fakta dan angka secara mendalam.

Tegasnya, pembelajaran bukan sekadar terhad di dalam bilik darjah sahaja, tetapi guru perlu menunjukkan sikap mengambil berat ke atas setiap pelajar dari segi kebajikan, motivasi dan kekangan peribadi yang akan membantutkan penyerapan ilmu secara berkesan.

Dr Muhammad Amin berkata, seorang guru tidak boleh mengandaikan bahawa semua pelajar mempunyai keupayaan mencerna ilmu harian yang sama, justeru interaksi dua hala perlu berlaku untuk mengenalpasti cara terbaik dalam mengajar mereka.

"Tinjauan saya di Selama dan Batu Kurau atau Kubu Gajah mendapati, terdapat peningkatan dari segi kualiti pencapaian peratus lulus, namun secara keseluruhannya masih tidak berpuas hati kerana tidak memberi impak ketara kepada prestasi akademik negeri.

​​

"Selain bidang akademik secara teori, saya juga menggalakkan pendidik mengambil inisiatif merangka sebuah modul bagi latihan kemahiran dan kokurikulum agar mereka tidaklah pasif ketika berada di luar institusi persekolahan kelak," katanya lagi.

Dr Muhammad Amin mewakili kerajaan negeri menyerahkan sumbangan pelbagai peralatan sekolah kepada pelajar di empat buah sekolah seperti SK Tebing Tinggi, SJKT Ulu Sepetang, SK Pondok Takung dan SK RBTK Pondok Tanjung.

Selain itu, beliau juga menghulurkan sumbangan kewangan untuk membantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah tersebut.


10 views0 comments
bottom of page