SELAMA: Anugerah Allah datang dalam pelbagai cara dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, begitu juga dengan bakat serta kebolehan tiga orang pelatih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Nur Gemilang di Selama, Perak.
Seorang daripadanya berjaya mengharumkan nama PDK itu menerusi Sukan Paralimpik, sementara dua lagi berbakat dalam bidang nyanyian dan refleksologi/mengurut.
Tiga Pelatih PDK, Tiga Bakat Berbeza
Mendekati setiap seorang daripada mereka sememangnya memberi inspirasi, walaupun dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) namun semangat dan azam yang ditonjolkan dari setiap butir kata amat bermakna.
Mohammad Norfitri Abdullah,19, merupakan pelatih PDK yang mengalami masalah anggota (cacat kedua belah tangan) tetapi mampu mencipta nama pada sukan Paralimpik di Sarawak dengan mendapat tempat ke-3 (lari 100m dan 200m) dan ke - 2 (lompat jauh).
“Tiada tangan bukan penghalang untuk saya berlari, dan ini yang saya minat sejak kecil. Baru-baru ini baru sahaja balik dari Sarawak dan rasa seronok sebab dapat sumbangkan sesuatu untuk keluarga dan PDK,” katanya ketika ditemui.
Ibunya, Azina Othman, 51, turut mengakui kesungguhan anak ketiga dari sembilan orang adik beradik itu untuk terlibat secara serius dalam sukan.
“Sejak kecil, walaupun dengan keadaan fizikal sebegitu, dia tetap usaha nak merangkak, berjalan sampai dia berjaya di usia dua tahun, memang keluarga bangga dengan apa yang dia capai sekarang,” kata Azina.
Penuhi Permintaan Khidmat Berurut
Berlainan pula dengan Muhamad Nor Aidil Abd Halim, 18, yang cacat kategori masalah pembelajaran, pertuturan dan pendengaran tetapi berkebolehan mengurut.
Menurut ibunya, Zaharina Zakaria, anaknya mendapat kursus refleksologi di Teratak Sakinah, Tanjung Rambutan dan kini menerima permintaan daripada orang ramai untuk berurut.
“Kami kesan dia boleh mengurut dah lama, cikgu di PDK pun tahu, sebab itu mereka hantar anak saya untuk dalami kursus mengurut. Buat masa ini banyak juga yang tahu dan minta dia urut seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat di Selama.
“Setiap bulan sekurang-kurangnya mereka akan minta khidmat dia untuk urut empat orang anggota, selalunya bayaran ikut kemampuan masing-masing dan tiada caj tertentu kami letakkan. Terpulang pada keikhlasan individu untuk beri,” kata Zaharina.
Selain itu, Zaharina memaklumkan sudah mempunyai perancangan untuk meluaskan perkhidmatan urut itu memandangkan anaknya sudah menampakkan minat dan kesungguhan dalam bidang tersebut.
Suara Merdu, Sering Jadi Tumpuan Ramai
Orangnya agak pemalu tetapi ramah bila sudah mulakan perbualan, Nurul Amira Sa’idan yang mengalami masalah kabur penglihatan sering dijemput ke majlis-majlis rasmi BAIDURI dan menyertai beberapa pertandingan nyanyian.
Suaranya yang lunak dan merdu tidak pernah menghampakan, bahkan dia sememangnya menjadi kegemaran ramai tetamu menerusi bakatnya itu.
‘Saya tak dapat melihat, jadi saya berlatih dengan mendengar lagu-lagu yang cikgu PDK bagi. Saya hafal kemudian cuba nyanyi dengan rentak sama.
“Saya paling suka nyanyikan lagu Pelangi Petang (Sudirman) dengan Ku Ada Kamu (Adira). Selalunya setiap majlis lagu ini yang akan saya nyanyi, tapi ada juga diselitkan dengan lagu lain,” kata Nurul Amira yang merupakan anak keenam dari lapan beradik.
Ketiga-ketiga mereka ditemui dalam lawatan BAIDURI ke PDK Nur Gemilang Selama yang diketuai Yang DiPertuanya, Datin Seri Saripah Zulkifli sempena Permukiman Menteri Besar di Parlimen Larut.
Ia melibatkan PDK Felda Ijok, PDK Pantai Besar dan PDK Batu Kurau.
Di setiap lawatan beliau bersama ahli BAIDURI akan meninjau dan melihat perkembangan di PDK berkenan untuk memastikan ianya kekal lancar.