top of page
muinsapidin

PeKA Bantu Penuntut Giatmara Buat Persediaan Kerjaya

SELAMA: Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) terus membantu golongan belia di negeri Perak membuat persiapan untuk memasuki dunia kerjaya.

Terbaharu, sempena Pemukiman Menteri Besar di Parlimen Larut, buat pertama kalinya, PeKA menganjurkan Bengkel Persediaan Kerjaya untuk penuntut Giatmara di Giatmara Larut.

Seramai 80 penuntut Giatmara Larut, Giatmara Taiping dan Giatmara Bukit Gantang menghadiri bengkel sehari itu, yang dikendalikan kaunselor PeKA.

Perasmian bengkel disempurnakan Pengerusi Jawatankuas Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PeKa, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi dan Pengurus Giatmara Larut, Shahriman Mohd Kassim.

Sharul Zaman di dalam ucapannya berkata, PeKa akan membantu penuntut Giatmara menyediakan pakej yang sesuai untuk mereka menceburi bidang pekerjaan apabila tamat pengajian kelak, termasuk persediaan mental, komunikasi dan perwatakan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penuntut Giatmara supaya jangan ada perasaan rendah diri dengan anggapan mereka mendapat peluang kedua hanya untuk mendapatkan sijil semata-mata.

"Sebenarnya, belajar di Giatmara adalah peluang keemasan kerana sekarang ini kebanyakan majikan mencari pekerja yang mempunyai kemahiran.

"Selain itu, sekiranya tidak mendapat pekerjaan, penuntut Giatmara juga mempunyai alternatif lain, iaitu menceburi sektor perniagaan yang berkaitan dengan bidang kemahiran masing-masing," ujarnya.

Dalam masa sama, Shahrul Zaman menasihatkan mereka supaya menanam azam untuk meningkatkan kemahiran masing-masing ke tahap yang lebih tinggi.

Sementara, beberapa peserta bengkel menyambut baik usaha yang dilakukan PeKA untuk membantu mereka.

Harrey Wam Mat

Harrey Wam Mat, 22, dari Giatmara Larut berkata, bengkel yang diadakan itu boleh membuat mata mereka untuk persiapan menghadapi kerjaya.

Noriza Zabidi

Noriza Zabidi, 18, pula berharap, ia dapat diadakan lebih besar supaya lebih ramai penuntut Giatmara berpeluang menyertainya.

Muhammad Taqiuddin Tarmizik

"Bila ada program macam ni, barulah kami nampak masa depan yang lebih jauh," kata Muhammad Taqiuddin Tarmizik, 22, penuntut bidang automatif Giatmara Bukit Gantang.


48 views0 comments
bottom of page