KAMPAR: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu melanggar sebatang pokok dalam sebuah kemalangan berhampiran simpang Gua Tempurung di jalan persekutuan Gopeng ke Kampar pada lewat malam Isnin.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Pegawai Bomba Kanan II Mokhtar Sudin berkata, kejadian berlaku melibatkan lelaki berusia 68 tahun dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 12 tengah malam dan kami menerima panggilan sekitar 12.29 lalu bergegas ke tempat kejadian.
"Sesampainya di sana, kami mendapati mangsa yang berada di tempat duduk pemandu telah melanggar sebatang pokok dan tersepit.
"Mangsa maut di tempat kejadian dan disahkan oleh pihak perubatan di Hospital Kampar," katanya kepada Suara Perak pada Selasa.
Beliau mberitahu, pihaknya telah menggunakan peralatan rescue tools untuk mengeluarkan mangsa dari dalam kereta dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi memakan masa hampir sejam dan tamat sepenuhnya pada 1.48 pagi," katanya lagi.