top of page
muinsapidin

Kerajaan Tidak Nafikan Hak Jadikan Selama Daerah Penuh

SELAMA: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak menafikan hak Selama untuk menjadi sebuah daerah penuh.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan negeri perlu membuat perincian terlebih dahulu kerana ia memerlukan satu pelan jangka panjang bagi daerah berkenaan.

Menurut Dr Zambry, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) yang beliau pengerusikan pada Rabu.

``Ini kerana perbincangan daerah Selama ia bukan hanya melibatkan DUN Selama tetapi juga melibatkan kawasan DUN Batu Kurau dan DUN Kubu Gajah dalam kawasan Parlimen Larut,’’ katanya selepas mesyuarat itu sempena Permukiman Menteri Besar di Parlimen Larut.

Menurut Menteri Besar, kerajaan negeri juga akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum mengisytiharkan satu-satu kawasan itu sebagai daerah baharu.

"Apabila kita mewujudkan sesebuah daerah itu, kita telahpun mengambil kira pertama dari segi potensi, pembangunan, dari segi kedudukan dan keluasan kawasan pentadbiran, ia bukan hanya semata-mata atas dasar orang kata hendak buat atau tidak,’’ ujarnya.

Beliau memberitahu, Selama merupakan daerah kecil tertua di negeri Perak yang wujud sejak zaman kolonial dan telah digazetkan sebagai daerah kecil di dalam Daerah Larut Matang dan Selama.

"Dalam konteks Bagan Datoh dan Muallim, ia bukanlah satu proses tiba tiba sahaja, malah ianya telahpun berada dalam perancangan kerajaan negeri selama ini dan akhirnya kita telah buat keputusan dan setelah mendapat perkenan ke bawah Duli Tuanku dan juga dipersetujui oleh kabinet,’’ jelas beliau.


10 views0 comments
bottom of page