SELAMA: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digesa tidak menyalahgunakan wang pinjaman untuk pelaburan yang tiada jaminan.
Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, walaupun pihaknya tidak mempunyai bukti yang sahih mengenai perkara itu, namun tidak menolak kemungkinan ianya berlaku.
"Ia di luar kawalan kita...jika mereka ingin melabur, boleh mendaftar jadi agen PTPTN.
"Jangan buat pelaburan yang tiada jaminan," katanya kepada media ketika Program Mesra Pelajar Bersama PTPTN & BAIDURI di Dewan Sekolah Kebangsaan Sungai Siputeh Selama, Perak pada Rabu.
Hadir sama, Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli, Ketua UMNO Bahagian Larut, Faizul Arby Mohd Shukor serta ahli-ahli BAIDURI.
Shamsul Anuar berkata, sebagai agen PTPTN dalam talian, orang ramai boleh mendapatkan komisen antara 15 hingga 25 peratus untuk permohonan Skim Pendidikan Nasional-i Plus (SSPN-i).
Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) kepada penuntut IPT dalam kalangan penduduk di daerah ini.