SELAMA: Kerajaan negeri Perak sedang melihat potensi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau dan Selama menjadi sebahagian daripada Greater Kamunting bagi merancakkan pembangunan dan kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, antara langkah yang sedang diambil ialah mengesyorkan supaya kawasan baharu diwujudkan dengan menjadikan Batu Kurau sebagai bandar satelit.
Menurut beliau, perkara itu sedang dilaksanakan melalui kerjasama Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) yang dipengerusikan Datuk Mohammed Zahir Abdul Khalid yang Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri.
``Ini kerana industri sedang berkembang di Kamunting dan ia sudah mula datang balik, Kamunting sudah mula membangun semula setelah 30 tahun terbiar begitu sahaja,’’ katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Daerah di Selama pada Rabu sempena Permukiman Menteri Besar di Parlimen Larut.
Menurut Dr Zambry, sewaktu datang ke pekan Batu Kurau, beliau melihat pekan tersebut agak uzur dan kerajaan telah mengesyorkan satu idea untuk membangunkan sebuah bandar baharu di kawasan berkenaan.
Katanya, Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohamed Amin Zakaria yang juga ADUN Batu Kurau telah diberi tanggungjawab untuk melihat bagaimana kawasan Batu Kurau dapat dibangunkan sebagai bandar satelit.