SELAMA: BAIDURI dilantik sebagai duta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Perak sebagai usaha mentransformasi minda rakyat Malaysia ke arah penabungan pendidikan tinggi.
Yang DiPertuanya, Datin Seri Saripah Zulkifli berkata, lantikan itu merupakan usaha bersama dalam membantu masyarakat membuat tabungan awal secara lebih konsisten.
"Kerjasama dengan PTPTN ini sudah memasuki kali ketiga, usaha murni daripada PTPTN yang disokong pula dengan sumbangan, beri erti besar untuk semua.
"Kita mahu orang ramai sedar tentang kepentingan membuat simpanan bagi pendidikan demi masa depan anak-anak," katanya semasa berucap merasmikan Program Mesra Pelajar Bersama PTPTN dan BAIDURI di Sekolah Kebangsaan Sungai Siputeh, Selama pada Rabu.
Tambah Saripah, para peminjam juga dinasihatkan menjelaskan bayaran pinjaman selepas melanjutkan pelajaran demi kelangsungan pelajar lain.
"Sekiranya dapat wang pinjaman nanti, hendaklah berbelanja dengan berhemah dan jangan lupa untuk berjimat dan buat simpanan.
"Nasihat saya juga, supaya pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke IPT untuk fokus dan beri tumpuan kepada pembelajaran masing-masing," kata Saripah.