top of page
muinsapidin

Veteran Keselamatan Bantu Tangkis Persepsi Negatif

KUBU GAJAH: Veteran pasukan keselamatan mesti membantu menangkis persepsi negatif terhadap kerajaan yang banyak disebarkan melalu media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassn berkata, sebagai pejuang, mereka mesti terus berjuang untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Menurut beliau, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negera kali ke - 59 hujung bulan Ogos ini, sebagai kumpulan yang pernah berjuang mempertahankan negara, mereka tidak boleh hanya melihat sahaja.

"Perjuangan mesti diteruskan, kita mesti pertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara demi untuk anak cucu kita," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pahlawan peringkat DUN Kubu Gajah di Dewan Terbuka Redang Panjang dekat sini pada Selasa.

Hadir sama ADUN Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Elias dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Lt Kdr (B) Jayah Said.

Samsudin menyatakan rasa sedih kerana sejak kebelakangan ini, orang Melayu semakin berpecah belah menjadi kumpulan-kumpulan kecil.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang Melayu supaya menjadi seperti burung helang, yang mempunyai 64 spesis di seluruh dunia tetapi tidak pernah bercakaran sesama sendiri untuk mencari makan.

"Burung helang menggunakan kuku untuk mencari makan tetapi mereka tidak pernah bercakaran sesama sendiri dan ia mempunyai mata yang boleh melihat sejauh dua kilometer.

"Ikutlah seperti resmi burung helang, tidak bercakaran dan mempunyai pandangan atau wawasan yang jauh," ujar beliau.

Sementara itu, Hasbullah di dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pahlawan-pahlawan yang telah banyak berjasa kepada negara.

Beliau kemudiannya mengumumkan sumbangan RM1,500 masing-masing kepada PVATM Cawangan Selama dan Batu Kurau yang disampaikan oleh Samsudin.


4 views0 comments
bottom of page