KUBU GAJAH: Kira-kira 110 penternak lembu di kawasan Parlimen Larut diberi pendedahan tentang kaedah penghasilan makanan tambahan daripada sumber tumbuhan bagi meningkatkan hasil dan kualiti ternakan.
Kursus sehari anjuran Jabatan Veterinar Negeri bersempena Permukiman Menteri Besar di Parlimen Larut itu itu dilihat bakal memberi kesan positif dalam membantu petani meningkatkan ekonomi memandangkan penternakan lembu merupakan antara sumber mata pencarian utama yang dijalankan penduduk kampung di kawasan itu.
Di bawah kaedah itu, penternak diajar bagaimana menghasilkan bahan makanan ternakan berkhasiat menggunakan bahan terbuang seperti rumput, pelepah sawit dan batang jagung.
Penternak, Mohd Zulkefli Mohd Hussin, 48, berkata, beliau bercadang menggunakan kaedah baru bagi membesarkan lagi perniagaan penternakan lembu dan kambingnya.
Beliau yakin kaedah baru yang dipelajarinya mampu meningkatkan sumber pendapatan daripada aktiviti ternakan yang diusahakan.
“Agak mudah untuk dihasilkan. Tambahan pula bahan-bahan untuk menghasilkannya juga senang didapati sekitar kawasan ini,” katanya.
Mohd Zulkefli berkata selain kegunaan untuk ternakan sendiri, beliau bercadang untuk menjual makanan ternakan yang dihasilkan kepada pengusaha ternakan lembu dan kambing.
“Saya pun sememangnya sudah ada ada kelapa sawit berkeluasan empat setengah ekar…jadi ini memudahkan saya mendapat bahan mentah. Manakala rumput dan batang jagung juga boleh saya dapati daripada petani-petani di sini,” katanya.
“Kalau boleh saya mahu pakejkan makanan tambahan elok-elok dan menjadi produk saya sendiri,’’ kata Mohd Zulkefli dari Kampung Gunung Kelian, Ijok.
Penternak wanita, Aisyah Zulkapli, 49, pula menganggap kursus yang disertainya itu sebagai amat berfaedah kerana ia memberi semangat tinggi kepada penternak lembu dalam membesarkan bidang penternakan mereka.
Beliau yang baharu menceburi dalam bidang ternakan lembu melihat pendekatan penghasilan makanan tambahan menggunakan bahan terbuang yang diperkenalkan oleh Jabatan Veterinar sebagai amat besar manfaatnya dan perlu segera dipraktikkan oleh para penternak lembu.
“Selama ini saya tidak menyedari bahan terbuang seperti daun pelepah sawit, batang jagung dan rumput sebenarnya boleh dijadikan makanan tambahan apabila ia dijerukkan di dalam tong simpanan dengan campuran garam sebagai makanan lembu dan kambing,’’ katanya.
Beliau berazam untuk menghasilkan makanan tambahan ini dengan menggunakan kawasan ladang sawitnya sedia ada seluas tiga setengah ekar dan kebun jagung sebagai satu perniagaan bagi menambah pendapatan.
“Walaupun kursus ini diadakan sehari tetapi ia cukup bermanfaat buat kami untuk menambah pendapatan,’’ kata Aisyah.
Sementara itu ADUN Trong, Datuk Dr Zabri Abd Wahid yang mewakili Exco Pertanian, Datuk Saarani Mohamed dalam ucapan perasmiannya berkata, kursus pengurusan penternakan lembu dan penghasilan makanan tambahan ini amat penting untuk didedahkan kepada penternak supaya mereka menjadi pengusaha ternakan lembu yang berjaya.
Katanya, peserta-peserta yang mengikuti kursus hari ini diberi bimbingan tentang cara membuat makanan tambahan untuk lembu ternakan dengan menggunakan daun pelepah sawit, batang jagung dan rumput sebelum dijerukkan didalam tong simpanan.
“Setelah dijerukkan makanan tambahan itu akan diberikan kepada lembu-lembu ternakan bagi membolehkan ternakan itu lebih sihat,’’ katanya.
Menurut Zabri, bidang penternakan merupakan satu bidang yang menguntungkan sekiranya diusahakan dengan tekun dan gigih.
Katanya, kerajaan menerusi jabatan dan agensi yang terlibat sentiasa berusaha membantu penternak lembu dan kambing di Perak meningkatkan hasil ternakan mereka sekaligus menjadikan bidang itu sebagai satu bidang yang dapat menjamin masa depan penternak.