top of page
muinsapidin

Pengguna Diberi Jaminan Tiada Gangguan Pada Bil TNB

SELAMA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang gangguan dalam pengeluaran bil utiliti pelanggan berikutan kerja-kerja menaiktaraf sistem yang sedang giat dilaksanakan syarikat utiliti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata terdapat kebimbangan kalangan pelanggan berlaku gangguan seperti kelewatan menerima bil elektrik termasuk kemungkinan dikenakan caj yang lebih tinggi.

Menurutnya kebimbangan pelanggan itu tidak benar dan TNB sedang melakukan yang terbaik bagi memastikan tiada apa-apa gangguan yang boleh menyusahkan pengguna.

Katanya, kerja naiktaraf sistem yang sedang dilaksanakan TNB Perak bertujuan memberi keselesaan kepada pengguna terutama dalam memastikan transaksi pembayaran dapat dibuat dengan lebih mudah.

"Saya ingin mengingatkan kepada pengguna TNB bahawa dakwaan sebegitu tidak wujud…tidak timbul isu kenaikan bil sekiranya TNB lewat mengeluarkan penyata bil.

"Seperti amalan sebelum ini, individu yang layak untuk mendapat potongan akan tetap menikmatinya walaupun terdapat sedikit kelewatan dari segi bacaan bil,"ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian TNB selama serta perpindahan pejabat TNB dari Bangunan UMNO Larut ke Bangunan Majlis Daerah Selama(MDS).

Turut hadir, ADUN Selama Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff, Ketua Jurutera Negeri, Raja Abdul Jalil Raja Zaid dan ketua-ketua jabatan sekitar daerah Selama.

Zainol berkata, dengan penambahbaikan sistem baharu itu nanti ia membolehkan orang ramai membuat pembayaran di atas talian meggunakan sebuah portal bersepadu yang bakal diperkenalkan.

"Bagi bil anggaran purata ia juga akan ditentukan oleh sistem baharu nanti dan pelanggan akan menerima bil seperti biasa sebaik proses peralihan selesai," menurutnya.


36 views0 comments
bottom of page