IBU BAPA Pandelela Rinong tidak mahu ratu terjun negara itu tertekan menjelang aksinya dalam acara 10m platform individu di temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada 18 Ogos ini.
Pandelela janji terjunan terbaik di Olimpik Rio 2016.
Pamg Joheng dan Hartini Lamim akan berlepas ke Rio malam ini bagi memberi sokongan dan menyaksikan terjunan atlet yang baru sahaja meyumbang pingat pertama negara dalam acara 10m platform seirama pada hari keempat temasya berprestij itu berlangsung.
"Harapan kami agar Pandelela membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik pertama buat negara dan dirinya kali ini tapi kami tidak mahu dia tertekan dan boleh menjejaskan aksinya nanti," kata Hartini ketika ditemui Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.
Hartini, 48, yang turut merasakan debaran anak gadisnya itu berharap Pandelela tidak melakukan kesilapan ketara ketika membuat terjunan di Pusat Akuatik Maria Lenk nanti.
Sementara itu, Pamg, 50, mahu Pandelela terus fokus dan menganggap terjunan pada 18 Ogos itu sebahagian daripada sesi latihan hariannya agar beliau tidak berasa gementar dan cemas.
"Harap dengan kehadiran kami di Rio, Pandelela lebih yakin untuk beraksi dan membuat terjunan yang terbaik," katanya.
Untuk rekod, pada temasya 2012 di London, Pandelela meraih pingat gangsa acara kegemarannya itu dan muncul atlet wanita negara pertama yang meraih pingat di Sukan Olimpik. - Bernama