BANDAR KUALA KANGSAR - Dua kebakaran melibatkan sebuah rumah tinggal dan sebuah lori membawa muatan batu berlaku dalam tempoh 14 jam, di sini, semalam.
Kes pertama melibatkan sebuah rumah kosong di Kampung Sayong Lembah yang musnah hampir 80 peratus, petang kelmarin.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Zainal Ahmad Taken mengesahkan menerima laporan kejadian ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan kerana difahamkan rumah tersebut sudah beberapa tahun ditinggalkan.
“Kita menerima panggilan kira-kira jam 4 petang dan bergegas ke lokasi kejadian. Apabila sampai di sana, kami dapati api sedang marak dan membakar hampir keseluruhan rumah.
“Anggota kemudiannya bertindak mengawal kebakaran untuk mengelakkannya merebak dan mungkin merosakkan beberapa rumah lain yang berada berhampiran.
“Operasi tamat sepenuhnya hampir sejam kemudian selepas anggota memastikan tiada mangsa terperangkap dalam rumah itu,” katanya.
Sementara itu, satu lagi kes melibatkan sebuah lori membawa muatan batu yang musnah hampir keseluruhannya selepas terbakar di Jalan Ulu Kenas, pagi semalam.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan meskipun lori tersebut terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbakar.
Ketua Operasi, Mohd Aziz Mohd Noor memaklumkan pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira jam 6.11 pagi.
“Tiba di lokasi kejadian, sebuah lori sedang terbakar. Tiada mangsa terperangkap di dalamnya.
“Anggota menggunakan dua pancutan termasuk menggunakan buih bagi memadamkan api. Operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 8.45 pagi,” katanya.