KUALA KANGSAR: Berpegang kepada konsep '1 kapal 1 nakhoda', persidangan perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas mengambil ketetapan menyokong penuh institusi Presiden dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diangkat secara sah melalui sistem demokrasi.
Persidangan juga mendesak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang melanggar undang-undang dan menggugat keamanan dengan menggunakan akta-akta yang digubal seperti SOSMA dan POCA bagi memastikan keharmonian serta kepentingan masyarakat terus dipelihara, seterusnya mengekalkan kedaulatan negara.
Persidangan itu yang telah dirasmikan oleh Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut mengambil ketetapan merancang, menyusun dan menggerakkan lebih banyak program `turun padang’ untuk memberi penerangan dan penjelasan terhadap isu-isu terkini serta menjawab pelbagai fitnah, tohmahan dan hasutan terutamanya terhadap golongan sasar.
Sementara itu, Pergerakan Wanita pula mengusulkan agar kerajaan meneruskan usaha memperkasakan sekolah kebangsaan (rendah dan menengah) supaya sekolah- sekolah berkenaan menjadi sekolah pilihan utama masyarakat.
Pergerakan Wanita berpendapat sekolah-sekolah itu perlu dilengkapi kemudahan asas pendidikan yang mencukupi dan berkualiti selain menyediakan guru terlatih.
Pergerakan Pemuda pula menggesa kerajaan mengurangkan karenah birokrasi dalam memberi kelulusan pinjaman modal berskala kecil kepada usahawan muda Melayu dan Bumiputera yang menceburi bidang perniagaan.
Pemuda juga mencadangkan kerajaan mewujudkan Pusat Servis Kenderaan 1 Malaysia (PUSK1M) yang dijalankan oleh usahawan-usahawan muda Melayu dan Bumiputera di setiap bahagian dengan bantuan modal permulaan yang disalurkan terus oleh kerajaan.
Pergerakan Puteri pula mencadangan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempunyai jentera gerak saraf untuk berdepan ancaman pengganas dan militant Daesh dengan hujah al-Quran dan Hadis yang sebenar.
Puteri juga menyarankan Kementerian Belia dan Sukan supaya menganjurkan solat berjemaah bagi golongan belia selepas melaksanakan program dan aktiviti sukan sebagai satu strategi untuk menerapkan nilai-nilai agama bagi mengelak mereka daripada dipengaruhi ideologi Daesh.