WORLD #QuranHour yang bakal berlangsung secara serentak di seluruh dunia pada 9 Zulhijjah ini bukan sahaja mendapat perhatian netizen, malah turut mendapat pujian selebriti tanah air, Fizo Omar.

Fizo mengucapkan tahniah kepada warga Kumpulan Media Karangkraf terutama Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub atas usaha menyedarkan umat Islam seluruh dunia betapa pentingnya al-Quran di sisi kita.
“Bagi memastikan kelancaran program, sokongan semua pihak termasuk media sosial adalah perlu, bukan hanya usaha pihak penganjur semata-mata,” katanya.
Menurut Fizo, World #QuranHour adalah contoh terbaik membuktikan kepada golongan bukan Islam bahawa Islam bersatu padu memperjuangkan tuntutan agama.
“Saya dan rakan-rakan selebriti akan berusaha sebarkan maklumat program ini melalui laman sosial dan program-program yang kami hadiri agar lebih ramai tahu dan dapat sertai aktiviti berkenaan.
“Walaupun ada antara kita yang tidak berpeluang bersama-sama membaca al-Quran pada 9 Zulhijjah ini, namun setiap hebahan program ini dianggap satu dakwah,” katanya.