PARIT: Polis masih meneruskan siasatan lanjut mengenai kes seorang pelajar Tingkatan 2, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini yang mendakwa dibuli oleh lima pelajar senior di asrama maktab berkenaan minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Aziz Hassan berkata, dalam laporan 8 Ogos lalu, pelajar tersebut mendakwa telah dipukul di tangan dan kaki oleh lima pelajar Tingkatan 3 dan 4.
Gambar Hiasan
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.30 pagi yang dikatakan berpunca kumpulan tersebut marah dan menuduh mangsa melaporkan kepada pihak sekolah mengenai kegiatan mereka menghisap rokok.
"Siasatan dijalankan oleh pihak polis dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas tindakan merusuh dan keterangan kelima-lima pelajar terbabit telah dicatatkan bagi membantu siasatan berhubung dengan kes ini," katanya ketika dihubungi Suara Perak.
Menurut Aziz, mangsa telah menerima rawatan lanjut di hospital dan mengalami kesan lebam kemerahan pada muka, dipercayai berikutan insiden buli berkenaan.
Bagaimanapun, kata beliau, pihak polis tidak melakukan tahanan reman semua lima pelajar di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, sebaliknya telah diberi jaminan polis selepas siasatan.
"Pihak polis masih meneruskan siasatan di samping akan mendapatkan laporan perubatan, dan kertas siasatan akan dirujuk pada pihak pendakwaraya," katanya lagi.
Difahamkan, mangsa buli masih berada di rumah berikutan masih trauma di atas kejadian berkenaan dan pihak kaunseling MRSM Parit dipercayai akan memantau perkembangannya.
Sementara itu, kelima-lima pelajar berkenaan kini dipercayai digantung persekolahan selama dua minggu dan keputusan siasatan oleh jawatankuasa kendalian MRSM akan diserahkan kepada Bahagian Pendidikan Menengah untuk tindakan lanjut.