IPOH: Program Pemukiman Menteri Besar diteruskan di Parlimen Larut yang akan memberi perhatian kepada tiga fokus utama iaitu kos sara hidup, harga getah dan kemudahan asas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Saarani Mohamad, berkata, pemukiman selama lima hari itu yang bermula 16 Ogos, akan melibatkan seramai mungkin rakyat bagi memahami dan menyelesaikan tiga isu berkenaan.
Menurut beliau, pemukiman kali ini sedikit berbeza kerana ia melibatkan kawasan parlimen di pedalaman yang sedang dibangunkan, berbanding sebelum ini melibatkan daerah.
“Mereka mahukan kemudahan-kemudahan di bandar ada di tempat mereka atau luar bandar tetapi dalam masa sama mereka tak mahu alam semula jadi dimusnahkan untuk pembangunan,” katanya pada sidang media khas di Ipoh pada Isnin.
Menurut beliau, sebanyak 130 program telah disusun untuk pemukiman kali ini bagi membolehkan kerajaan negeri mendengar serta menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat di parlimen berkenaan.
“Kali ini kita fokuskan kepada parlimen kerana jika kita fokus kepada daerah Larut Matang & Selama, ianya terlalu besar dan kita takut tidak dapat melibatkan semua rakyat di sana, kita tidak mahu ada yang tercicir,” ujarnya.
Saarani memberitahu, daripada 130 program itu, 22 akan dihadiri sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, 106 program akan disertai oleh 10 exco kerajaan negeri dan enam lagi merupakan program khas BAIDURI.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, konsep pemukiman kali ini juga akan menampilkan beberapa penambahbaikkan.
“Daripada post-mortem yang kita lakukan dari pemukiman yang lalu, kali ini kita memutuskan agensi dan jabatan-jabatan kerajaan perlu melakukan program-program yang mesra rakyat.
“Sebelum ini mereka melakukan program-program seperti kursus yang melibatkan kakitangan, tapi kali ini program-program harus mesra dan melibatkan rakyat,” jelasnya.