top of page
muinsapidin

PeKA Tarik Minat Agensi Pendidikan Kerajaan Johor

Kejayaan Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) sebagai pusat sehenti bagi mencari peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan di negeri ini telah dijadikan sebagai sumber rujukan Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ), sebuah anak syarikat kerajaan negeri Johor yang bertanggungjawab membangunkan sektor pendidikan.

Ketua pegawai Eksekutif kumpulan pendidikan YPJ Shaiful Husaini Damanhuri (2 dari kiri) membincangkan kerjasama bersama Ketua pegawai Eksekutif PeKA Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi

Bagi memahami dengan lebih dekat lagi pendekatan yang digunakan PeKA, satu lawatan kerja oleh delegasi daripada KPYPJ telah diadakan di pejabat PeKA pagi tadi.

Ketua Eksekutif Kolej KPYPJ YPJ, Shaiful Huzaini Damanhuri berkata Johor amat berminat untuk memperkenalkan konsep pusat sehenti yang sama di negeri itu.

Katanya hasil lawatan delegasinya satu kertas cadangan akan dibentangkan kepada kerajaan negeri bagi mewujudkan satu agensi yang boleh memadankan graduan dengan pasaran pekerjaan.

“Kami kagum melihat kejayaan PeKA kerana telah berjaya menempatkan 19,036 pencari kerja dengan pekerjaan yang sesuai walaupun usianya baru setahun jagung. Kami ingin belajar dan memperkenalkan pendekatan sama di Johor.

Kami berharap dengan adanya pendekatan sama, lebih ramai graduan kami akan berjaya mendapat pekerjaan sesuai. Pada masa ini, antara 60 hingga 70 peratus graduan kami berjaya memasuki pasaran kerja manakala selebihnya gagal. Kemungkinan dengan agensi seperti PeKA keadaan ini akan bertambah baik,” katanya selepas sesi taklimat PeKA pagi tadi.

Taklimat disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif PeKA, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi.

Shaiful berkata KPYPJ mempunyai dua kolej dibawahnya iaitu Kolej YPT dan Kolej Kemahiran dan Teknikal Johor.

Menurutnya, graduan daripada dua kolej kerajaan negeri ini dilatih bagi memenuhi permintaan pasaran kerja tempatan selain Singapura dan China.

“Kewujudan agensi seperti PeKA ini nanti juga penting bagi menyokong Pusat Hub Kemahiran yang sedang dibina di Kulai dengan tumpuan melahirkan pekerja mahir bidang teknikal, “ katanya.

PeKA yang ditubuhkan 2011 merupakan salah satu daripada gagasan Perak Amanjaya bagi membawa negeri ini mencapai tahap hidup berkualti dan pembangunan seimbang.

Penubuhannya adalah bagi mengatasi masalah pengganguran terutama kalangan rakyat di negeri ini serta mendapat sokongan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) termasuk 1,054 majikan ketika ini.


16 views0 comments
bottom of page