top of page
muinsapidin

Lebih Banyak Koperasi Belia Menjelang 2020

IPOH: Kerajaan negeri melalui Pelan Tindakan Strategik 2016 - 2020 berhasrat mewujudkan lebih banyak koperasi untuk golongan belia.

Pengerusi Jawtankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, kerajaan negeri telah menetapkan sasaran untuk mewujudkan 600 koperasi lagi menjelang 2020.

Menurut beliau, majoriti daripada jumlah itu akan terdiri daripada golongan belia dan selebihnya koperasi kariah masjid.

Beliau memberitahu, ketika ini terdapat 1,352 buah koperasi di seluruh negeri Perak dengan hanya 26 buah terdiri daripada koperasi untuk golongan belia.

“Kita kerugian besar kerana lepasan ijazah di kampung dan bandar yang mempunyai kemahiran tidak dapat menyertai koperasi ketika ini, jadi dengan perbanyakkan koperasi ini, kita yakin ia akan memberi ruang kepada merka,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Isnin.

Menurut Samsudin, 1,352 buah koperasi di Perak ketika ini berjaya memperolehi aset berjumlah RM1.1billion dengan jumlah syer lebih RM500,000.

“Selain kita mewujudkan koperasi baru nanti, kita juga akan perhebatkan lagi koperasi yang sedia ada kerana kebanyakkannya masih dalam kategori mikro, kita akan lihat permasalahan mereka dan mencari jalan untuk meningkatkan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Sambutan Hari Koperasi peringkat negeri Perak akan diadakan pada 18 – 20 Ogos ini di pekarangan Kompleks Rakan Muda Larut Matang.

Menurutnya, sambutan itu dibuat bagi memberi pengiktirafan kepada koperasi serta memperlihatkan kepada masyarakat mengenai pencapaian dan kejayaan gerakan koperasi di negeri ini.

“Kemuncak sambutannya pada 19 Ogos di mana majlis penyampaian anugerah kepada koperasi yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang serta Tokoh Koperasi,” katanya sambil menjangkakan kira-kira 10,000 orang akan menghadiri sambutan tahun ini.


33 views0 comments
bottom of page