IPOH: Exco MIC Negeri Perak, M. Veeran menyifatkan cadangan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy untuk membina sebuah Sekolah Menengah Jenis Tamil (SMJT) di Pulau Pinang sebagai cuba memperbodohkan masyarakat India di Malaysia.
Veeran berkata, mengikut Akta Pendidikan 1996, tiada sebarang peruntukan untuk menubuhkan SMJT sebagai sekolah menengah kerajaan yang hanya menggunakan bahasaTamil atau Cina sebagai bahasa pengantar.
Bagaimanapun, kata beliau Ramasamy sengaja menuduh Kementerian Pendidikan tidak membenarkannya.
"Sebenarnya, tidak ada kebenaran untuk perkara itu mengikut Akta Pendidikan, saya percaya Ramasamy mungkin sedar perkara ini tetapi sengaja bermain politik untuk meneruskan perjalanan politiknya.
"Ramasamy juga telah berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa kerajaan negeri mempunyai atau sedia memberi tanah untuk membina sekolah Tamil.
"Mengapa beliau tidak menunjukkan tanah itu kepada media dan orang awam sebagai tanda konsiderasi untuk membina sekolah," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Ahad.
Sehubungan itu, Veeran mencadangkan, jika Ramasamy mempunyai tanah di Pulau Pinang, binalah sebuah Sekolah Menengah Swasta (Tamil) dengan perbelanjaan penuh kerajaan negeri itu.
"Tetapi jika masih tidak dapat membina sekolah swasta Tamil, binalah sebuah asrama penuh yang boleh didiami 500 pelajar dari keluarga miskin untuk melanjutkan pelajaran," ujarnya.
Veeran berkata, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu perlu berkhidmat dengan niat baik dan mempunyai agenda yang bermanfaat untuk masyarakat India, bukan sekadar berperang dengan pemimpin- pemimpin politik lain di akhbar atau media .
"Saya rasa Ramasamy cuba untuk mendapatkan simpati politik daripada masyarakat India dalam isu ini apabila kerajaan Persekutuan menolak permohanan beliau," katanya.